Part 21: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Tak pernahkah kamu merasakan kesakitan ini biarpun sekelumit cuma? Tas tangan diletakkan di atas meja kopi berhadapan dengan sofa. Badan direbahkan di atas sofa. Melepaskan lelah setelah hampir enam jam kaku di atas kusyen bas. Huh! Penatnya. Matanya melingas ke kiri dan kanan; mencari sesuatu yang dia tahu tak mungkin akan dia temui saat ini. Akur pada realiti yang sedang terjadi, Ain pantas mencapai tas tangannya lalu bergerak naik ke bilik. Meniti anak tangga menuju ke syurga dunianya, Ain menetapkan hati. Memakukan perasaan pada tahap yang sama. Biar tak ada lagi airmata yang akan tumpah.
Langkahnya mati. Hatinya mula berdenyut kembali. Mengembalikan rasa sakit yang tak terperi. Ain menarik nafas dalam-dalam. Perlahan, tombol pintu dipulas. Atur kaki disusun masuk ke kamar perkongsiannya dan Faiq. Ain memandang ke kanan. Dia nampak bayangan Faiq melarikan Bobo; teddy bear kesayangannya. Dia nampak bagaimana Faiq cuba memanipulasi keadaan agar dia bangun dan tidur sekatil dengannya. Ain telan liur.
Anak matanya mati pula pada sudut bilik sebelah kiri. Dia nampak bayangan mereka menunaikan solat berjemaah. Jelas sekali susun atur gerak tubuh. Juga jelas sekali alunan merdu suara Faiq membacakan ayat-ayat lazim. Dan dia juga nampak betapa dalamnya rasa kasih Faiq setiap kali usai dia mencium tangan suaminya itu, setiap kali sebelah lagi tangan suaminya singgah pada ubun-ubunnya sebelum diakhirkan dengan satu ciuman juga di tempat yang sama.
Dengan sebak yang makin membungkam dalam hati, tak terdaya lagi rasanya nak melangkah lebih jauh. Bilik yang dahulunya terasa sedang-sedang sahaja, hari ini bagaikan luas tak terkira. Tangannya segera menyentuh sisi dinding untuk menampung berat badannya. Langkah semakin longlai sebelum Ain terduduk. Terjelepuk di lantai bilik yang dahulunya adalah syurga dunianya.
Airmatanya menitis. Setitik.
Mendengarkan bunyi deruan enjin kereta, Ain segera bangun. Di satu sudut yang agak tersembunyi, Ain duduk lalu menyandarkan badannya ke dinding, merapatkan kedua-dua kaki sebelum menarik lunjuran kaki merapat ke dada. Sayup-sayup, dia dengar derap tapak kaki menuju ke bilik. Dia juga dengar bunyi tombol pintu dipulas dan Ain terus mematungkan diri. Nafas ditarik perlahan-lahan. Cuba untuk menahan tangisan dan esakan.
*****
Faiq menundukkan badan lalu mencapai tas tangan berwarna coklat tua milik isterinya. Lantas, dia memandang keseluruhan bilik. Mencari-cari batang tubuh yang sememangnya dinantikan kepulangannya. Sepagi di pejabat, Baddrol tak sudah-sudah menyuruhnya balik sahaja. Lantas, telefon bimbit dicapai lalu menghubungi abang iparnya nun jauh di utara. Dan satu perkhabaran gembira dibawa dari sana; kepulangan isteri tercinta. Namun kini, isterinya itu tiada. Faiq meraup wajah. Cuba menyembunyikan rasa terkilan dalam hati.
Sebaik sahaja langkah mahu dibuka, telinga Faiq menangkap bunyi esakan kecil. Cepat-cepat dia memalingkan wajahnya ke satu sudut lalu sambil melangkah perlahan mendekati. Tinggal beberapa langkah, Faiq ternampak jemari kaki Ain.
“Ain...”
Terasa mahu memeluk isteri itu sekuatnya, namun langkahnya dimatikan oleh suara Ain, “Jangan dekat dengan Ain.”
Panjang nafas ditarik demi mendengar permintaan Ain itu. Ya Allah, apa salah aku?
“Kenapa, sayang?” ucap Faiq lemah.
“Jangan dekat dengan Ain. Jangan panggil Ain sayang. Tolonglah abang. Jangan pupuk rasa sayang Ain pada abang kalau abang tak ikhlas sayangkan Ain. Ain tak mampu nak benci abang. Jadi, abang tolong Ain. Tolong jangan cambahkan lagi rasa yang ada ni, bang.”
Faiq terpana. “Abang ikhlas sayangkan Ain...”
“Bohong!” Suara jeritan Ain itu bergema sama dengan suara hatinya. Faiq berperang dengan perasaan sendiri. Benarkah dia tak ikhlas menyayangi isterinya?
“Abang bohong...abang bohong..” Kenyataan itulah yang tidak sudah-sudah diucapkan Ain berulang kali. Sehingga tepu mindanya untuk menerima input itu. Asing benarkah? Atau itulah kenyataan yang dia tak pernah sedar?
Tubuh isteri yang sedang mengerekot menahan tangisan dirapati lantas dia membawa dalam pelukan. Mulanya, Ain meronta-ronta minta dilepaskan. Namun, rontaan itu perlahan-lahan hilang dan berganti dengan esakan dan soalan.
“Kenapa abang tipu Ain... kenapa abang...” Tidak penat langsung bibir comel Ain mengungkap perkataan itu. Tipu! Bohong!
Faiq menguatkan pelukannya. Hatinya meruntun pilu mendengar esakan Ain. Hari itu, dia sedar semuanya; Besar rupanya salah yang dia lakukan iaitu mencambahkan rasa di hati Ain sedangkan hatinya kering-kontang. Dan kesalahan itulah yang membawa kepada kesalahn-kesalahan kecil ang lain. Faiq sedar bahawasanya dialah yang selalu menyakiti hati Ain. Dialah yang selalu merampas senyuman Ain. Dialah juga insan yang tak pernah serik untuk memporak-perandakan perasaan Ain. Melihat setitis demi setitis air jernih itu menitis dari pipi isterinya, hati Faiq terasa ngilu. Mendengar esakan yang semakin reda, hati Faiq berdenyut-denyut.
Ya Allah, sakit apakah ini? Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
|