Part 17: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Perlahan-lahan, akan aku teruskan juga langkah ini biar payah sekali pun. Semoga satu hari nanti kamu akan sedar yang naskhah ini wujud dari cebisan-cebisan ceritera yang pernah wujud antara kita. Sesungguhnya, aku adalah insan yang tak pernah menyesal kerana mengenali kamu.
Pagi itu cerah. Langit membiru ditemani gumpalan-gumpalan awan putih. Berarak seiring. Sang matahari pula terik memancarkan sinarnya. Menerangi seluruh muka bumi Allah S.W.T. Si burung pula galak berterbangan juga berkicauan. Riang mencari makanan. Lalu, Faiq menarik nafas panjang. Membiarkan angin pagi itu memenuhi seluruh ruang rongga nafasnya. Biar sesak dadanya dengan udara sesegar itu.
Puas menikmati udara segar, Faiq bergerak menuju ke pangkin yang terletak di bawah pokok mempelam telur yang sedang berbuah lebat. Lantas, membaringkan tubuhnya. Sungguh, dia puas menikmati keindahan alam pagi itu. Lama sudah dia tidak menikmati suasana begitu; sejak Atuk dan Opah meninggal dunia, mereka sekeluarga jarang sekali pulang ke kampung. Rumah lama tinggalan arwah juga entahkan sudah roboh menyembah bumi. Sayang! Tapi apalah daya dia hanya seorang cucu. Tapi kini, Faiq sudah tersenyum kembali. Kampung Wang Tepus, tanah kelahiran isterinya itu sudah cukup untuk buat dia puas berulit dengan alam. Puas!
“Wah, abang Ngah! Syok nampak dok berangan,” sapa Qairil Aryan yang dipanggil Alang. Adik pada Ain yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini. Lalu, Faiq cepat-cepat bangun lalu duduk bersila mengadap adik iparnya itu.
“Mau tak syok. Kat KL nun manalah boleh dapat suasana yang macam ni. Nak sedut debu kota boleh la,” balas Faiq yang masih belum puas memuji keindahan alam.
“Ya ka? Abang Ngah tak dak kampung ka?” soal Aryan lagi.
Faiq tersengih. “Dulu ada. Tapi sejak Atuk dengan Opah abang meninggal, dah tak pernah balik kampung dah...”
“...itu yang macam rusa masuk kampung tu,” potong Ain yang baru muncul dari dapur. Di tangannya, ada sebuah dulang yang ada teko teh panas bersama dengan beberapa biji cawan dan piring. Segera Faiq bergerak sedikit untuk memberi ruang isterinya meletakkan dulang tersebut. Lalu, cawan dan piring disusun kemudian Ain menuangkan teh panas ke dalam cawan.
“Abah mana, Ain?”
“Hah? Abah. Ada kat dalam tu. Kejap lagi keluarlah. Ain dah cakap dah dekat abah yang kita breakfast kat bawah pokok ni saja. Alang, tolong panggilkan Along dengan adik boleh? Angah nak ke dapur kejap. Ambil kuih.”
“Baik bos!” ucap Aryan dengan gaya seorang polis memberikan tabik hormat pada ketuanya. Kemudian, berlari-lari anak Aryan masuk ke dalam rumah. Ain sekadar geleng kepala melihat telatah adiknya itu sebelum mengatur langkah kembali ke dapur.
Seketika kemudian, Ain muncul kembali bersama-sama dengan Puan Haizum. Di tangan kiri dan kanan Ain, ada dua biji pinggan penuh berisi dengan kuih apam dan juga pisang goreng buat sarapan mereka pagi itu. Manakala, Puan Haizum pula membawa sebiji lagi teko berisikan air kopi pekat. Tak lama selepas itu, Encik Nazim pula muncul bersama dengan tiga heronya; Qairil Afiq atau lebih mesra dipanggil Along bersama-sama dengan Aryan dan juga adik bongsu Ain, Qairil Amsyar tetapi dipanggil adik sahaja.
Faiq cepat-cepat bangun dari pangkin. Memberi ruang duduk buat ibu dan ayah mertuanya. Juga buat si isteri tercinta. Sementara itu, Afiq masuk kembali ke dalam rumah untuk mendapatkan beberapa buah kerusi buat mereka.
“Ni kerusi untuk si jejaka-jejaka handsome ja. Budak-budak bawah umur duduk saja kat tepi-tepi ya,” usik Afiq sambil membetulkan letak kerusi. Aryan dan Amsyar tarik muka.
“Tak aci betui la Along ni,” bentak Amsyar.
“Aci kat India la,” gurau Afiq lagi. Sengaja mahu mengusik adik-adiknya.
“Hahaha..” Aryan pura-pura ketawa. “Tak lawak pun,” sambungnya lagi.
“Alongnya... sudah-sudah la tu mengusik adik-adik. Bagi kerusi tu sorang satu. Dah besaq gajah pun kalut la nak bergaduh,” tegur Puan Haizum. Geram juga dia melihat tingkah anak sulungnya itu yang tidak pernah jemu mengusik adik-adiknya.
“Dari dok usik budak-budak tu, apa kata Along tolong bacakan doa makan. Abah dah lapaq sangat dah ni. Dah terliuq dok perati kuih apam buatan tangan Angah ni. Lama dah abah tak jamah,” sampuk Encik Nazim sekali gus mahu mematikan usikan Afiq untuk adik-adiknya.
Aryan dan Amsyar tersengih memandang Afiq yang terus sahaja menadahkan tangan lalu memulakan bacaan doa makan. Begitu juga dengan Ain dan Faiq. Usai bacaan ditamatkan, laju sahaja Encik Nazim mencapai sebiji kuih apam yang berwarna putih lalu dibahagi dua sebelum dimasukkan ke dalam mulut.
“Abang ni... tak sabaq-sabaq. Tahulah Angah yang buat. Bukan main suka lagi,” usik Puan Haizum pula. “Mestilah suka. Ayaq tangan satu-satunya anak perempuan saya,” balas Encik Nazim.
Ain yang mendengar sekadar tersenyum. Jauh dalam sudutnya, ada sebak berlagu. Dia sedar yang ma dan abah sangat-sangat merindui dirinya. Semenjak bergelar isteri kepada Faiq, cuma sekali mereka pulang ke kampung iaitu beberapa hari selepas tamatnya majlis sambut menantu di rumah Faiq. Itu pun sekadar singgah untuk mengambil barang-barang Ain yang harus dibawa ke rumah baru. Dan sepanjang tempoh itu, hanya telefon yang menjadi penghubung antara mereka.
“Toksah dok syahdu-syahdu la, Angah. Along nak makan ni,” usik Afiq yang sedari tadi ralit memerhatikan riak wajah Ain yang begitu kejap pandangannya pada ma dan abah. Faiq yang tadinya sibuk melayan abah berbual menoleh secara tiba-tiba. Terus sahaja menacapkan pandangan pada wajah si isteri yang sudah mula suram.
“Faiq, nak main takraw tak?” soal Afiq pada Faiq yang asyik memandang wajah Angahnya. Kesamaan umur antara dia dan Faiq membuatkan Afiq lebih selesa memanggil Faiq dengan nama sahaja berbanding adik-adiknya yang mesra dengan panggilan abang Ngah. Faiq terpinga-pinga. “Takraw?” soalnya dengan kerutan di dahi.
“Yelah, main bola takraw. Nak tak?” tanya Afiq lagi. Kali ini disertakan sekali dengan isyarat mata. Dan Faiq dapat menangkap maksud ajakan Afiq tadi. Sedarlah dia yang Afiq ingin memberi ruang hati ke hati buat Ain untuk bersama-sama dengan Puan Haizum dan Encik Nazim. Lalu, cepat sahaja diajak kedua-dua adik iparnya untuk turut serta.
“Awat sedih ni, Angah?” soal Puan Haizum sebaik sahaja ketiga-tiga hero dan juga menantu lelakinya itu berlalu dari situ.
Ain ketap bibir. Tekaknya terasa perit.
“Angah rindu ma. Rindu abah juga,” balasnya dengan suara yang ditahan-tahan. Lalu, Puan Haizum menarik tubuh Ain ke dalam pelukannya. Lantas, mengusap-ngusap perlahan kepala anak gadisnya yang dilitupi tudung Ekin itu.
“Ma pun rindu Angah. Abah pun rindu juga. Tapi, Angah kena kuat. Angah kan dah jadi isteri orang. Mana boleh nak berkepit dengan ma ngan abah macam dulu-dulu. Jadi isteri orang, kenalah duduk dekat dengan suami. Sekali-sekala, Angah balik la kampung jenguk ma dan abah. Macam yang Angah tengah buat ni,” pujuk Puan Haizum lembut. Jiwa anak perempuannya itu perlu dibeli dengan bahasa pujukan yang lembut.
“Faiq macam mana? Elok ka dia layan Angah kat sana?” Abah memulakan soal siasatnya. Ain tersengih mendengar soalan dari Encik Nazim “Ish, abang ni. Ke situ pula soalannya. Awat? Dah takdak soalan lain ka nak tanya anak sendiri?”
Encik Nazim buat muka tak bersalah. Ain pula sudah tersengih panjang. Sambil itu, dia membuang pandangan, memerhatikan gelagat suami tercinta bersama-sama dengan abang dan adik-adik kesayangannya.
“Alhamdulillah, abah. Faiq layan Angah elok ja kat sana. Abah jangan la risau,” balas Ain sejujurnya sementelah memang itu pun hakikatnya. Faiq; suami yang elok budi pekertinya, ada pegangan agama juga penyayang. Walaupun kadang-kala Faiq melayannya bagai endah tak endah tetapi lelaki itu tak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Ah, Ain! Hati kalau sudah menyayangi, disiat halus pun tetap juga sayang.
“Sejuk hati abah dengan ma dengaq,” tambah Encik Nazim lagi lalu segera membasuh tangannya sebelum melangkah mendekati anak dan menantu yang sedang seronok bermain sepak takraw. Seketika kemudian, Puan Haizum pula mendekati mereka. Sengaja mahu turut serta; Bukan mahu main tetapi sekadar mahu memandang. Tinggallah Ain termangu-mangu seorang diri. Memerhati dan terus memerhati gelagat keluarga dan suami tersayang. Diketika itu, hanya senyuman yang menjadi penghias wajah Ain. Betapa dia bahagia memerhatikan suasana itu. Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
|