Lama anak matanya jatuh pada sehelai kanvas yang tercalit pelbagai warna. Memerhati dan meneliti. Lukisan itu mengingatkan dia pada sebuah babak kehidupan yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu. Indah lagi mempesonakan. Namun kini, babak itulah yang saban waktu mendera jiwanya. Membuatkan mimpi indahnya bertukar menjadi sebuah igauan ngeri.
Perlahan jari jemari mengusap lembut pada sepatah perkataan itu. Cinta! Dia mengetap bibir. Menahan rasa yang tiba-tiba kembali. Rasa yang ingin sekali dibawa pergi. Rasa itulah yang selalu menjerut hatinya. Membuatkan dia kadang-kadang lemah dalam sisa semangat yang masih tinggal. Dalam langkah yang longlai, dia menapak membawa diri. Pergi meninggalkan kenangan yang tak mungkin dapat diulang kembali.
******
“Assalamualaikum...”
“Waalaikumsalam... lambat kau balik hari nie, Qis? Banyak kerja ke?” tanya Nurbaya yang sedang berlagak santai di hadapan televisyen. Balqis memandang Nurbaya seiring tersenyum. “Takdelah. Aku ke galeri kejap tadi. Ada urusan sket kat sana.
Nurbaya terdiam. Bukan sehari dua dia mengenali Balqis Insyirah. Bahkan bukan juga setahun dua tapi semenjak alam persekolahan menengah lagi. Rezeki selalu bersama mereka yang sememangnya mengimpikan untuk bersama-sama hingga ke alam perkerjaan. Dan hari ini, masing-masing telah menjawat jawatan yang diidam-idamkan mereka. Nurbaya sebagai seorang pegawai IT manakala Balqis Kamalia kini adalah seorang pereka grafik di
QuarkPark-Design. Dan dia tahu, Balqis tiada apa-apa urusan pun di galeri.
“Qis, let it go. You’ll be better,” pesan Nurbaya perlahan tapi sangat jelas di pendengaran Balqis. Balqis cuma diam memandang Nurbaya. Cuma mengikut nasihat temannya tapi dia kalah dengan mainan perasaannya sendiri. Melepaskan pergi tak semudah mencampakkan seketul batu ke dalam air. Ianya menyakitkan.
“Aku masuk dalam bilik dulu,” balasnya lemah setelah beberapa minit membatu. Nurbaya sekadar mengelengkan kepala melihat temannya itu. Tak ada apa yang dapat dibantu melainkan terus menasihati walaupun dia sedar, menasihati Balqis umpama mencurah air ke daun keladi. Namun, jauh di sudut hati Nurbaya, dia mengharapkan moga ada sinar bahagia buat temannya itu.
******
Dalam sebak, Balqis merenung anak mata Amir. Mencari mana tahu masih ada sisa cinta untuk dirinya. Namun, dia gagal. Yang jelas di matanya kini hanyalah seraut wajah tanpa perasaan. Amir! Kenapa kau dera perasaan ini? Kenapa kau buat aku begini sedangkah kau tahu betapa susahnya aku membina perasaan ini untukmu?
“Qis, Amir minta maaf.
Maybe ini yang paling baik untuk kita.”
Balqis sekali lagi mengangkat wajahnya. Memandang kekasih hati di hadapannya. Bukan sedikit perasaan yang diberikan untuk lelaki itu. Tapi kenapa lelaki itu semudah itu melepaskan dirinya?
“Ok. Qis ikut saja,” ucap Balqis perlahan. Ucapan yang bukan datang dari hatinya. Serentak itu, Amir minta diri dan terus keluar dari Perodua Myvi milik Balqis. Dalam kelukaan, Balqis sekadar memandang kelibat lelaki itu yang akhirnya hilang bersama Honda Civic miliknya.
“Amir...”
Balqis tersedar dari tidurnya. Di luar sedar, lancar sahaja dia mengucapkan sebaris nama itu. Sayu dan lirih sekali. Dan tanpa kesedarannya juga, ada mutiara jernih menyusup perlahan di pipi gebu milik Balqis. Dalam keheningan subuh itu, Balqis teresak-esak di bahu katilnya. Menangisi kehilangan sebuah cinta. Kehilangan untuk yang kedua kalinya. Namun tangisan itu tidak lama. Terhenti kala terdengar azan Subuh yang sayup-sayup kedengaran memecah kesunyian Subuh.
Perlahan dia bangun dari pembaringan. Terus ke bilik air untuk membersihkan diri dan seterusnya menghambakan dirinya pada yang Maha Esa. Usai solat, Balqis terus ke almari pakaian. Mencapai sepasang kurung nan biru yang sudah sedia digosok. Dan terus menyiapkan diri untuk ke tempat kerja pada pagi di penghulu segala hari itu. Sudah bersiap, dia cepat-cepat turun ke dapur untuk menyediakan sarapan ringkas iaitu roti bakar.
“
Morning, Qis!” sapa Nurbaya yang baru muncul di situ. “
Morning, Nur. Wah, berseri jer pagi nieh. Nak ke mana?” tanya Balqis sambil menyusun kepingan roti yang sudah dibakar di dalam pinggan.
“Hehe... macam biasa la Cik Balqis oit! Nak jumpa cik abang sayang la,” ujarnya penuh ceria. “Hurm... patutlah berseri-seri muka tue.”
“Tahu takpe. Qis, hari nie kau jangan nak pi mana-mana pulak. Kau kena temankan aku tau,” pesan Nurbaya. Balqis mengerutkan dahinya. “Kenapa pulak? Tak nak la aku. Kacau daun jer.”
Nurbaya muncung seribu. “Takde maknanya kacau daun. Hari nie Zahrul bawa member. Kau pun kenal dia tapi aku lupa siapa namanya.
So, kau
join ar aku. Takde la boring kat rumah nieh sorang-sorang. Lagi pula, aku ingat nak
shopping hantaran tunang sekali.”
Balqis mencebik. “Aku dah biasa sorang la.”
“Dah! Jangan nak banyak alasan. Kau kena ikut aku!”
“Yelah... aku ikut,” jawab Balqis tanpa banyak alasan lagi. Terus sahaja dicapai roti bakar yang telah siap disapu jem strawberi itu lalu dimakan perlahan. Dan ralit, anak matanya leka pada wajah ceria Nurbaya. Roti yang selama ini begitu enak dimakan bertukar rasa pagi itu. Kesat dan tawar.
‘Berbahagialah teman. Doaku bersamamu selalu.’ Perlahan dan lirih sekali suara hatinya pagi itu.