DSLR Camera
Ipod Classic
Sony Vaio
Printed Version of BJPP
No Limit Japanese DVD
Own Novel
Trip to Aussie,NZ&Japan
Watching Theater
Part 25: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Mujurlah sup daging panas ini mampu melegakan sedikit ketidakselesaan pada hidung gara-gara selesema. Lalu, sempat jugalah menyambung garapan ini. Bunyi isyarat penerimaan pesanan ringkas bergema. Menganggu konsentrasi Ain yang sedang menyudahkan manuskrip untuk drama radio. Ain segera bangun lalu mendapatkan telefon bimbitnya yang berada di atas meja sisi katil.
+ Assalamualaikum Ain. Weyh, aq ada dkat KL ni. Ada seminar kt Vistana Hotel. Free x?
Melihat barisan pesanan ringkas itu, Ain tersenyum lebar. Rindu pada teman karibnya itu sangat menebal. Niat untuk bertemu sewaktu pulang ke kampung tempoh hari tergendala gara-gara kejadian yang tidak dapat dielakkan itu. Lantas, kedatangan Mila ke Kuala Lumpur ini pastinya tidak akan disia-siakan oleh Ain.
- Waalaikumsalam. Ye ke? Brape ari kt cni?
+ Yelah. Rindu kau la. InsyaAllah, kalu jadi jumpa kau 4 harilah aq kt cni. 3 hari seminar. Shari lg aq nk spend utk kau jer. Bleh?
Bagai nak melompat sahaja Ain sebaik sahaja membaca pesanan ringkas itu. Luas tapak tangan, nyiru hamba tadahkan.
- InsyaAllah, bleh. Nnt aq tanya Adam dlu eh. Then, aq akan text kau balik. Ok?
+ Ok! :)
- Ok! Xsbr nk jmpa kau. Ptg ni kau free x? Or dh ada xtvt?
+ Ptg ni xde xtvt pun. Mlm bru mula. Knape?
Usai membaca pesanan ringkas itu, Ain memandang jam di dinding sebelum mendail nombor telefon bimbit Faiq. Sebaik talian disambung, Ain segera menyapa Faiq di talian.
“Assalamualaikum abang. Ganggu ke?” Ain menyapa lembut. Bimbang juga kalau-kalau panggilannya ini tidak tepat pada masa juga tidak kena pada situasinya.
“Waalaikumsalam Ain. Takdelah. Kenapa ni? Anything?”
Ain mengurut dada. Lega.
“Abang, Mila ada kat sini sekarang. Kalau abang izinkan, petang nanti Ain nak jumpa dia boleh?” soal Ain lambat-lambat.
“Oh, ye ke? Buat apa dia kat sini?”
“Dia ada seminar kat Vistana Hotel. 4 hari dia kat sini,” terang Ain sebetulnya.
“Ain nak abang hantarkan ke?” soal Faiq kembali.
“Hurm...takpelah abang. Nanti kalau ibu balik awal, Ain pinjam kereta ibu saja. Tapi, kalau ibu balik lambat Ain panggil teksi jelah.”
“Okeylah kalau macam tu. Kalau Ain pergi dengan teksi, bagitau abang yer. Biar abang jemput Ain balik nanti,” balas Faiq pula. Nada suaranya sudah mula kedengaran serius.
“Yelah. Thanks, abang.”
Lantas, panggilan segera ditamatkan bila mana ada seseorang mengetuk pintu bilik Faiq. Usai itu juga, Ain segera mengirimkan pesanan ringkas untuk Mila.
+ Aq jmpa kau ptg ni. Nak?
- Ye ke? Adam bagi ke? Aq on jer.
+ Ok, tggu aq k. Dlm kul 5 aq gerak dri rumah. But xsure lg aq drive or naik teksi jer. Okkan?
- Ok. Anything 4 u, dear. Asal kau slamat smpai kira oklah tu.
Ain sudah tersenyum lebar. Tidak sabar lagi untuk bersua dengan teman kesayangannya itu. Lalu, dia cepat-cepat melangkah ke ruang kerja milik Faiq yang ditumpang guna. Segera menutup segala aplikasi sebelum menekan butang Shut Down. Laptop dan segala barang-barangnya dikemas sebelum ditinggalkan di sudut sebelah tepi meja. Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 24: Bintang! Jangan Pernah Pergi
 PesanDariHati: Demi kerana kamu, aku rela menempuhi kepayahan ini. Biarlah apa juga kata mereka, aku tetap mahu ada di sisi kamu. Ain duduk bersimpuh di sisi Nurin sebelum dia cepat-cepat menyenteng lengan bajunya. Senduk dicapai lalu dia mencedok saki-baki lauk ayam masak merah lalu dimasukkan ke dalam beg plastik kecil. Kemudian, disusuli pula dengan baki lauk daging masak hitam dan juga acar timun dan nanas. Juga mengulangi perbuatan yang sama. Nurin pula sibuk membungkuskan nasi tomato lalu menyatukan dengan lauk pauk lain sebelum dimasukkan ke dalam beg kertas oleh si bongsu, Nadiah. Dan beg kertas itu diagihkan kepada saudara-mara dan rakan taulan yang sudah mahu beransur pulang.
Di sudut lain, kelihatan Baddrol dan Faiq yang sedang duduk di atas kerusi plastik sambil melayan bicara. Tenggelam dalam dunia mereka. Entah apa yang dibualkan, tidaklah diketahui Ain. Yang pasti, gelagat kedua-duanya mencuit hati kecilnya.
“Abang Bad, sinilah. Tolong kak In dengan Dek Ah,” panggil si bongsu, Nadiah. Baddrol yang sedari tadi sibuk bergelak ketawa pantas membuang pandangan ke arah adiknya.
“Tak nampak ke abang tengah busy ni?” soal Baddrol pura-pura garang. Nadiah mencebik. Sikit pun tidak takut dengan amarah abangnya itu. “Busy menganyam ketupat. Mengalahkan mama jer Dek Ah tengok.”
Baddrol membulatkan matanya. Geram dengan kata-kata adiknya itu.
“Amboi dik. Sesedap nasi tomata mama eh mengata abang.”
Nadiah menjelirkan lidah dan mencebikkan bibir. Tangannya masih ligat memasukkan bungkusan makanan ke dalam beg kertas. Melihat gelagat nakal si bongsu, Baddrol bingkas bangun lalu duduk di sebelahnya. Mulanya, Nadiah ingin bangun melarikan diri. Namun, mengenangkan Baddrol yang sudah menarik kainnya, dia segera duduk kembali. Kang tak pasal-pasal mama mengamuk melihatkan perangai tak senonoh anak-anaknya.
“Ish, apa abang ni? Dek Ah suruh duduk sini tolong masukkan bungkusan dalam ni hah!” ujar Nadiah lagi sambil menunjukkan cara-cara memasukkan bungkusan dalam beg kertas. Mulutnya macam bertih jagung membebelkan si abang.
“Dek Ah, abang Bad tu mengaji sampai nun jauh ke UK tau. Tak payahlah susah payah nak ajar abang Bad cara-cara nak masukkan bungkusan tu,” perli Nurin yang sedari tadi hanya berlagak sebagai pendengar. Sekali lagi, Nadiah mencebik. Ain dan Faiq sekadar tersengih-sengih mendengar. Tak mahu ikut campur. Kang lain pulak jadinya.
“Thanks Dik In. Ni yang abang Bad sayang Dik In lebih ni,” bodek Baddrol dengan kening yang terangkat-angkat. Melihat gelagat abangnya, Nadiah mencebik lagi.
“Yelah tu. Sapelah orang ni kan. Adik terbuang.”
“Mengaku takpe.” Laju sahaja tangan Nadiah menghadiahkan cubitan di lengan abangnya itu. Geram barangkali. Nurin pula ketawa kecil.
Perlahan, Ain melepaskan nafasnya. Melihat kemesraan Baddrol dan adik-adiknya, Ain mula merindukan rumahnya. Rindu mendengar riuh Aryan dan Amsyar juga rindu dengan perhatian Alongnya, Afiq. Dan, Faiq bagaikan dapat menangkap kesedihan yang mula berkunjung di hati Ain. Kasihan. Itulah yang bermukim dalam hatinya. Sudahlah lama tidak pulang ke kampung, belum sempat melunaskan segala rindu dendam pada keluarga terjadi pula peristiwa tak diduga itu. Faiq ketap bibir.
“Oit, cik abang di sebelah sana. Takdenya penculik nak bawa lari bini awak tu. Ni, ramai bodyguard tahu,” usik Nurin yang sedar akan renungan lama Faiq pada Ain. Ain mengangkat pandangan ke arah Faiq. Dan Faiq tersengih malu.
“Eh, cik kak. Jangan masuk campurlah urusan orang dah berumahtangga. Sibuk jer dia,” sampuk Nadiah lalu mengangkat isyarat tangan pada Faiq. Baddrol pula giat menyokong tindakan adiknya itu sementara Nurin mengoyangkan kepalanya. Malas nak ambil pusing.
“Tapi... kalau kak In nak sibuk-sibuk binakan tiang rumahtangga buat abang Bad kita ni, itu 100% Dek Ah sokong.”
Tawa Nurin dan Nadiah bergabung. Terkulat-kulat Baddrol melihat kedua-dua adiknya itu. Padan muka kau, Bad.
*****
“Terima kasihlah Ifa, Adnan. Sudi datang kenduri kecil ni,” ucap Auntie Ima ketika berjabat salam dengan Puan Atifah. Encik Adnan sekali tersenyum sambil berbalas salam dengan Uncle Bakri. Usai itu, Ain pula menghulurkan tangannya pada Auntie Ima.
“Ain pun jangan serik pula datang rumah Auntie. Budak-budak ni memang macam tu. Kalau berjumpa riuhnya, masyaAllah,” terang Auntie Ima, selebihnya mahu memberitahu akan keadaan rumahnya setiap kali anak-anaknya berkumpul. Ain tersenyum.
“Takdanya dia serik, Ima. Kat rumah Ain tu pun lebih kurang jer. Lagilah, tiga hero pula tu,” sampuk Puan Atifah.
“Handsome tak, auntie Ifa?” tanya Nadiah tiba-tiba. Terkejut Auntie Ima dan Uncle Bakri dengan pertanyaan straight-to-the-point Nadiah.
“Kalau handsome kenapa?” soal Baddrol pelik. Tergaru-garu kepalanya mendengar soalan Nadiah. Tak tahu nak sengih atau nak marah. Kot ya pun, bertapislah sikit dik oit! Sedar akan soalan tak tahan itu, Nadiah tersengih-sengih memandang Auntie Ima yang sudah menjeling geram. Ops! Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata... tanya jelah.
“Takdelah abang Bad. Kalau hensem, boleh juga kita kenen-kenenkan dengan Kak In. Cepatlah Dek Ah dapat anak buah,” balasnya selamba. Meletus tawa mereka mendengar jawapan Nadiah. Tinggal Nurin yang sebal sendiri. Geram dengan tingkah Nadiah. Tadi tak habis-habis mengenakan abang Bad, sekarang dia pula mangsanya. Sabar sajalah. Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 23: Bintang! Jangan Pernah Pergi
 PesanDariHati: Akan saya cuba bertahan dengan dugaan ini asalkan saya tetap dapat berada di sisi kamu walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Jangan risau pasal hati saya. Tahula saya menguruskannya. Usai menamatkan panggilan, Ain bingkas bangun. Sepasang baju melayu Johor berwarna biru kehijauan dan juga sepasang kurung moden juga dari rona yang sama dikeluarkan dari wardrobe. Kemudian, Ain melangkah ke ruang keluarga yang terdapat di tingkat atas rumah itu. Menghampiri Puan Atifah yang ralit mengait.
“Ibu...”
Ibu mengangkat wajahnya. Memandang wajah menantu kesayangan. “Apa, Ain?”
“Kejap tadi, abang Adam call cakap yang Auntie Ima dengan Uncle Bakri jemput ke kenduri doa selamat malam ni. Ibu dengan ayah nak pergi tak?” Ain menyampaikan pesanan.
“Oh, betullah. Auntie Ima ada cakap dekat ibu minggu lepas. Katanya, kenduri untuk Nurin adiknya Bad yang baru balik dari UK tu, kan?” balas ibu. Ain pantas mengangguk. Mengiyakan kata-kata Puan Atifah sementelah itu jugalah yang dia dengar dari mulut Faiq sebentar tadi.
“Ibu dengan ayah ikut tak?” soal Ain sekali lagi dan dibalas dengan anggukan dari Puan Atifah.
“Hurm, ibu. Baklah baju yang ibu dengan ayah nak pakai malam ni. Biar Ain gosokkan,” pinta Ain lambat-lambat.
“Eh, takpelah Ain. Biar ibu saja yang buat.”
“Takpe bu. Alang-alang dah Ain nak gosok baju ni, bak la baju ibu dengan ayah sekali.”
“Sekejap yer. Ibu ambilkan.” Puan Atifah segera mengenetepikan jarum dan benang kait diketepikan lalu bingkas bangun menuju ke dalam biliknya sebelum keluar bersama dengan dua pasang baju; Sepasang baju Melayu moden dan juga sepasang kurung moden, kedua-duanya dari rona hijau yang sama.
Lantas, keempat-empat pasang baju itu dibawa ke bilik dobi atau lebih dikenali sebagai laundry room. Bilik itu adalah bilik kecil yang biasanya diduduki oleh pembantu rumah tapi diubahsuai lalu dijadikan bilik dobi; Mempunyai sebuah mesin basuh, pengering pakaian dan juga ironing board serta seterika. Juga lengkap dengan penyidai terbuka untuk memudahkan mereka mengantung pakaian.
Sehelai demi sehelai baju digosok perlahan-lahan. Biar hilang kedutan, biar nampak kemas bila dipakaikan oleh kedua-dua mertuanya juga oleh suaminya. Selesai mengosok, Ain mengantungkan baju-baju tadi di penyidai yang tersedia. Lantas, Ain segera ke dapur. Mahu melihat hasil tangannya untuk juadah minum petang mereka sekeluarga.
*****
Ain menyarungkan sarung tangan tebal. Pintu oven segera dibuka dan dia mengeluarkan loyang aluminium lalu membiarkan seketika di atas meja. Beberapa minit kemudiam, Ain menterbalikkan loyang aluminium itu sebelum mengangkatnya semula. Terserlah kegebuan kek mentega buatan tangan Ain yang berwarna kuning cair itu. Bau vanilla harum semerbak memenuhi ruang dapur. Ain tersenyum puas.
Kek mentega itu dibiarkan seketika di atas kekisi besi. Membiarkan kek itu sejuk sebelum dipotong. Melihat jarum jam menghampiri ke pukul 5, Ain cepat-cepat menyudahkan kerjanya. Beberapa potong kek diletakkan di dalam piring sederhana besar sementera bakinya dimasukkan ke dalam bekas lalu disimpan. Selepas itu, dia bergegas masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diri lantas menunaikan solat Asar. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Kau ampunilah dosa-dosaku, Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yangg tiada terbatas, Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal, Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan, Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista, Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu, Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan.
Ya Allah, Sekiranya suami ku ini adalah pilihan Mu diArash, Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya, Sekiranya suami ku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku dititianMu, Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya, Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di Jannah Mu, Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya, Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu, Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya, Sekiranya suami ku ini jodoh yang dirahmati olehMu, Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya,
Tetapi Ya Allah, Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang, Kau tunjukkanlan aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu, Sekiranya suami ku tergoda dengan keindahan dunia Mu, Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya, Sekiranya suami ku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan, Kurniakanlah aku kekuatanMu untuk aku memperbetulkan keadaanya, Sekiranya suami ku menyintai kesesatan, Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena.
Ya Allah, Kau yang Maha Megetahui apa yang terbaik untukku, Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan ketelanjuranku, Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan, Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai, Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri, Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhiratMu, Sekiranya aku ingkar dan derhaka, Berikanlah aku petunjuk ke arah rahmatMu.
Ya Allah sesungguhnya, Aku lemah tanpa petunjukMu, Aku buta tanpa bimbinganMu, Aku cacat tanpa hidayahMu, Aku hina tanpa RahmatMu.
Ya Allah, Kuatkan hati dan semangatku, Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu, Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami, Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu, Bimbinglah aku menjadi isteri Soleha, Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan, Kerana aku pasrah dengan dugaanMu, Kerana aku sedar hinanya aku, Kerana aku insan lemah yg kerap keliru, Kerana aku leka dengan keindahan duniamu, Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaranMu, Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu.
Ya Allah Ya Tuhanku, Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati, Isteri yang dikasihi, Isteri yang solehah, Isteri yang sentiasa di hati.
Amin, amin Ya Rabbal Allamin.
Di sebalik pintu, langkahnya mati sebaik mendengar setiap patah kata yang terucap dari bibir isterinya itu. Panjang sekali rintihan isterinya pada Yang Maha Esa. Betapa isterinya itu mencuba untuk terus tetap menongkah dugaan ini. Ya Allah, suami jenis apakah aku ini? Faiq meraup wajah. Ada air hangat yang tertakung di pelupuk mata. Terusikkah hatinya dengan rintihan itu? Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 22: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Ya, saya yang tak pernah sedar bahawa hanya dengan kehadiran kamu, sudah cukup untuk mengariskan senyum di bibir saya. Lalu, sayakah orang yang tak tahu bersyukur itu?
Beku. Itulah sifat yang mendominasi perilaku Ain. Sejak peristiwa itu berlaku, Ain berubah sikap serta-merta. Tiada lagi senyuman manja Ain buat dirinya. Memang Ain masih menantikan kepulangannya setiap petang, masih lagi mencium tangannya setiap kali dia mahu pergi dan balik dari kerja, masih juga tidak lupa menyediakan secawan Milo buatnya, tetapi bibirnya terkunci rapat. Bercakap hanya bila perlu.
Ibu tak sudah-sudah bertanya dan pagi tadi, ayahnya pula menyoal. Faiq sedar, bila Encik Adnan sudah bersuara maka dia harus menyelesaikan urusan itu secepatnya. Tapi bagaimana? Faiq buntu. Fail-fail di depan mata ditolak ke tepi. Buntu sudah rasanya otaknya berfikir.
“Jangan dekat dengan Ain. Jangan panggil Ain sayang. Tolonglah abang. Jangan pupuk rasa sayang Ain pada abang kalau abang tak ikhlas sayangkan Ain. Ain tak mampu nak bencikan abang. Jadi, abang tolong Ain. Tolong jangan cambahkan lagi rasa yang ada ni, bang.”
Berulang kali rintihan hati Ain itu berputar ligat di minda. Masih jelas rayuan Ain kepadanya. Lalu, Faiq menarik laci meja. Mengeluarkan organiser lalu mengeluarkan sekeping gambar dari celah poket yang terdapat pada organiser miliknya.
Wajah seorang perempuan. Lengkap wajahnya dihiasi dengan sepasang mata yang bundar juga kening yang melentik gara-gara dicukur, hidung mancung juga bibir seksi bak kepunyaan Angelina Jolie. Dilengkapkan dengan helaian-helaian rambutnya yang berwarna coklat keperangan. Sangat up-to-date orangnya. Dan bagai langit dengan bumi jika mahu dibandingkan dengan isterinya, Nurul Qurratu’Ain yang lebih menampilkan keperibadian yang lebih sopan dan tertutup. Wajahnya yang bujur sireh itu dilengkapi dengan mata yang bulat, biar hidungnya sedikit kemek tetapi sangat sesuai digandingkan dengan seulas bibir comel yang berwarna merah jambu. Keningnya kemas biarpun agak lebat. Paling istimewa, rambutnya yang hitam legam dan lebat itu elok tertutup dengan hijab.
Faiq berperang dengan hati sendiri. Berbagi-bagi hatinya setiap kali memandang gambar itu dan juga pada masa yang sama, rintihan Ain bagaikan terlalu jelas di telinga. Dia sedar ‘amukan’ Ain itu bersebab. Dia sedar akan kehadiran pesanan ringkas yang dikirim oleh si gadis untuknya tetapi terlebih dahulu disedari oleh Ain. Lalu, permintaan Ain agar tidak dicambahkan rasa itu berasas. Siapa yang sanggup untuk terus menyintai sedangkan sudah jelas sekeping hati itu milik orang lain. Tapi, lain hakikat yang sedang terjadi kini.
Melihat Ain membeku dalam rentaknya sendiri buat Faiq terus dihujani rasa bersalah. Memerhati gerak laku Ain yang masih menghormati dia sebagai suami, buat Faiq tersepit dalam masalah yang dia sendiri ciptakan. Semakin cuba melarikan diri, terasa semakin kuat bayangan Ain mengekori. Lalu, jatuh cintakah dia saat ini?
Helaan nafasnya panjang. Lalu, digoyangkan kerusi mengikut rentak lagu yang sedang terpasang melalui laptop. Memerhati satu demi satu gambar yang sedang tertayang di tetingkap skrin laptopnya dengan fikiran yang melayang entah ke mana.
“Oit!”
Terlepas kepingan gambar yang dipegang sedari tadi dek kerana sergahan Baddrol. Mengucap panjang Faiq dibuatnya. Sempat dijeling wajah Baddrol sebelum menunduk untuk mengutip kembali gambar itu. Baddrol tersengih-sengih.
“Inilah dia manusia. Dibagi mulut untuk cakap benda elok-elok, bukan untuk sergah orang tak tentu pasal. Kot ya pun nak masuk, ketuk pintu dulu beb!” marah Faiq.
“Banyaklah kau punya ketuk pintu. Kalau terbalik pintu tu pun belum tentu kau sedar dari alam khayalan kau ni. Ape citer ni, beb? Tetiba dok masyuk layan gambar Hani,” terjah Baddrol pula. Tidak sedap hatinya sebaik sahaja terpandang gambar yang terjatuh di atas lantai.
“Diam la kau.”
Baddrol angkat kening. Terkejut dengan jawapan selamba Faiq. Diam? Sumpah! Baddrol tak faham dengan perangai Faiq. “Weh, apa ni?”
“Hani nak balik minggu depan.”
“So?”
Faiq mendengus. “Payahlah. Ain tu aku nak campak mana?”
“Nasib baik kau sedar diri, kan? Ikut hati nak jer aku penerajang kau. Biar mampus. Yang kau simpan lagi si budak Hani tu kenapa?”
“Awek aku kot.”
Baddrol ketawa kuat. Perli sebenarnya.
“Dah tu Ain tu siapa? Bukan isteri kau ke? Antara awek dengan isteri siapa paling utama?” bidas Baddrol geram. Dan Faiq pula sekadar diam. Sedar akan kesalahannya.
“Faiq, aku malas nak cakap banyak dengan kau. Kau dah besar. Ada otak, ada akal untuk berfikir. Isteri kau kat rumah tu dah cukup sempurna rasanya. Cukup segala-galanya yang seorang lelaki mahukan dari seorang perempuan yang bernama isteri. Jangan kerana cinta, kau tersilap pandang. Fikir baik-baik!”
Faiq telan liur. Menarik nafas panjang.
“Nantilah aku fikirkan. Ni apehal kau terjah bilik aku?” soal Faiq. Selebihnya, dia mahu lari dari terus-terusan berbicara soal Ain. Ya, Ain itu lengkap segala-galanya; Pandai selok-belok rumahtangga, berpelajaran juga dan yang paling untung mungkin, Ain itu sangat menjaga maruahnya. Faiq begitu pasti, Ain juga pasti memelihara maruahnya sebagai seorang suami juga.
“Mama dengan papa jemput kau sekeluarga datang rumah malam ni. Ada kenduri doa selamat untuk Nurin.”
Faiq mengangkat wajah.
“Nurin? Adik kau? Dah habis belajar ke dia?”
Baddrol tersengih. “Yelah. Nurin, adik aku. Takkan adik kau pula kot. Dah boleh panggil Doktor Nurin pun. Sampai rumah hujung minggu lepas, time kau balik kampung. So, jangan tak datang pula. Bawak uncle dengan auntie sekali. Isteri kau jangan lupa.”
Faiq senyum lalu mengangkat isyarat okey pada Baddrol. Sebaik sahaja Baddrol melangkah keluar, Faiq tersandar. Tak mungkin aku lupa isteri aku, Bad. Dia dunia aku sekarang.
‘Hani?’ Suara hatinya bertanya. Lantas, Faiq menumbuk meja. Kesal dengan tindakan diri sendiri. Cepat-cepat, gambar itu dicapai lalu dimasukkan ke dalam laci meja. Tinggallah kasih, tinggallah pujaan. Aku pergi untuk sesuatu yang lebih pasti. Maafkan Iq, Hani. Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 21: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Tak pernahkah kamu merasakan kesakitan ini biarpun sekelumit cuma? Tas tangan diletakkan di atas meja kopi berhadapan dengan sofa. Badan direbahkan di atas sofa. Melepaskan lelah setelah hampir enam jam kaku di atas kusyen bas. Huh! Penatnya. Matanya melingas ke kiri dan kanan; mencari sesuatu yang dia tahu tak mungkin akan dia temui saat ini. Akur pada realiti yang sedang terjadi, Ain pantas mencapai tas tangannya lalu bergerak naik ke bilik. Meniti anak tangga menuju ke syurga dunianya, Ain menetapkan hati. Memakukan perasaan pada tahap yang sama. Biar tak ada lagi airmata yang akan tumpah.
Langkahnya mati. Hatinya mula berdenyut kembali. Mengembalikan rasa sakit yang tak terperi. Ain menarik nafas dalam-dalam. Perlahan, tombol pintu dipulas. Atur kaki disusun masuk ke kamar perkongsiannya dan Faiq. Ain memandang ke kanan. Dia nampak bayangan Faiq melarikan Bobo; teddy bear kesayangannya. Dia nampak bagaimana Faiq cuba memanipulasi keadaan agar dia bangun dan tidur sekatil dengannya. Ain telan liur.
Anak matanya mati pula pada sudut bilik sebelah kiri. Dia nampak bayangan mereka menunaikan solat berjemaah. Jelas sekali susun atur gerak tubuh. Juga jelas sekali alunan merdu suara Faiq membacakan ayat-ayat lazim. Dan dia juga nampak betapa dalamnya rasa kasih Faiq setiap kali usai dia mencium tangan suaminya itu, setiap kali sebelah lagi tangan suaminya singgah pada ubun-ubunnya sebelum diakhirkan dengan satu ciuman juga di tempat yang sama.
Dengan sebak yang makin membungkam dalam hati, tak terdaya lagi rasanya nak melangkah lebih jauh. Bilik yang dahulunya terasa sedang-sedang sahaja, hari ini bagaikan luas tak terkira. Tangannya segera menyentuh sisi dinding untuk menampung berat badannya. Langkah semakin longlai sebelum Ain terduduk. Terjelepuk di lantai bilik yang dahulunya adalah syurga dunianya.
Airmatanya menitis. Setitik.
Mendengarkan bunyi deruan enjin kereta, Ain segera bangun. Di satu sudut yang agak tersembunyi, Ain duduk lalu menyandarkan badannya ke dinding, merapatkan kedua-dua kaki sebelum menarik lunjuran kaki merapat ke dada. Sayup-sayup, dia dengar derap tapak kaki menuju ke bilik. Dia juga dengar bunyi tombol pintu dipulas dan Ain terus mematungkan diri. Nafas ditarik perlahan-lahan. Cuba untuk menahan tangisan dan esakan.
*****
Faiq menundukkan badan lalu mencapai tas tangan berwarna coklat tua milik isterinya. Lantas, dia memandang keseluruhan bilik. Mencari-cari batang tubuh yang sememangnya dinantikan kepulangannya. Sepagi di pejabat, Baddrol tak sudah-sudah menyuruhnya balik sahaja. Lantas, telefon bimbit dicapai lalu menghubungi abang iparnya nun jauh di utara. Dan satu perkhabaran gembira dibawa dari sana; kepulangan isteri tercinta. Namun kini, isterinya itu tiada. Faiq meraup wajah. Cuba menyembunyikan rasa terkilan dalam hati.
Sebaik sahaja langkah mahu dibuka, telinga Faiq menangkap bunyi esakan kecil. Cepat-cepat dia memalingkan wajahnya ke satu sudut lalu sambil melangkah perlahan mendekati. Tinggal beberapa langkah, Faiq ternampak jemari kaki Ain.
“Ain...”
Terasa mahu memeluk isteri itu sekuatnya, namun langkahnya dimatikan oleh suara Ain, “Jangan dekat dengan Ain.”
Panjang nafas ditarik demi mendengar permintaan Ain itu. Ya Allah, apa salah aku?
“Kenapa, sayang?” ucap Faiq lemah.
“Jangan dekat dengan Ain. Jangan panggil Ain sayang. Tolonglah abang. Jangan pupuk rasa sayang Ain pada abang kalau abang tak ikhlas sayangkan Ain. Ain tak mampu nak benci abang. Jadi, abang tolong Ain. Tolong jangan cambahkan lagi rasa yang ada ni, bang.”
Faiq terpana. “Abang ikhlas sayangkan Ain...”
“Bohong!” Suara jeritan Ain itu bergema sama dengan suara hatinya. Faiq berperang dengan perasaan sendiri. Benarkah dia tak ikhlas menyayangi isterinya?
“Abang bohong...abang bohong..” Kenyataan itulah yang tidak sudah-sudah diucapkan Ain berulang kali. Sehingga tepu mindanya untuk menerima input itu. Asing benarkah? Atau itulah kenyataan yang dia tak pernah sedar?
Tubuh isteri yang sedang mengerekot menahan tangisan dirapati lantas dia membawa dalam pelukan. Mulanya, Ain meronta-ronta minta dilepaskan. Namun, rontaan itu perlahan-lahan hilang dan berganti dengan esakan dan soalan.
“Kenapa abang tipu Ain... kenapa abang...” Tidak penat langsung bibir comel Ain mengungkap perkataan itu. Tipu! Bohong!
Faiq menguatkan pelukannya. Hatinya meruntun pilu mendengar esakan Ain. Hari itu, dia sedar semuanya; Besar rupanya salah yang dia lakukan iaitu mencambahkan rasa di hati Ain sedangkan hatinya kering-kontang. Dan kesalahan itulah yang membawa kepada kesalahn-kesalahan kecil ang lain. Faiq sedar bahawasanya dialah yang selalu menyakiti hati Ain. Dialah yang selalu merampas senyuman Ain. Dialah juga insan yang tak pernah serik untuk memporak-perandakan perasaan Ain. Melihat setitis demi setitis air jernih itu menitis dari pipi isterinya, hati Faiq terasa ngilu. Mendengar esakan yang semakin reda, hati Faiq berdenyut-denyut.
Ya Allah, sakit apakah ini? Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 20: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: I wish, I could be the only rainbows in your heart, that will always keep you smile after a long rain. But I know; I can't! Enjin kereta dimatikan. Beberapa beg plastik dicapai. Kunci ditarik dan pintu kereta dibuka. Sebaik sahaja keluar dari kereta, alarm segera ditekan. Kaki dibawa ke muka pintu lalu wedges hitam berjenama Crocs ditanggalkan dari kaki lalu diletakkan di atas rak kasut. Ucap salam diberi. Sebaik sahaja pintu rumah dibuka, lima pasang mata menoleh ke arahnya. Encik Nazim dengan wajah serius manakala Puan Haizum dengan wajah simpati. Along dan adik-adiknya sahaja yang berwajah selamba, bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku petang tadi.
Selangkah kakinya mengorak, Encik Nazim berdehem lantas bersuara, “Along, bawa adik-adik masuk dalam. Abah dengan ma nak bincang sikit dengan Angah.”
Ain mengigit bibir. Sekadar mampu memandang Along dan adik-adiknya membawa diri meninggalkan dia seorang diri untuk berhadapan dengan abah dan ma. Memahami maksud jelingan Encik Nazim, Ain segera melabuhkan punggungnya di atas sofa dua rangkai berhadapan dengan kedua ibu bapanya.
“Angah pi mana?” Encik Nazim mula menyoal.
“Tasik Darulaman. Lepaih tu teruih pi pekan Aloq Setar. Cari barang sikit untuk abah dengan ibu.”
Encik Nazim dan Puan Haizum berpandangan. Itu adalah kali pertama Ain memandu sendiri sehingga ke Alor Setar kerana biasanya Ain pasti akan ditemani oleh abang atau adik-adiknya. Encik Nazim menarik nafas panjang. Mahu dimarahi, Ain sudah dewasa. Sudah pandai menilai mana yang baik dan buruk. Sementelah, Ain juga telah selamat sampai ke rumah.
“Abah dengan ma bukan nak masuk campuq urusan rumah tangga Angah. Ma tau Angah dah besaq. Dah boleh beza mana yang baik, mana yang buruk. Kalau Angah ada masalah dengan Faiq, selesaikan elok-elok. Tak elok Angah biaq Faiq tu balik sorang-sorang. Sebagai isteri, tempat paling mulia untuknya adalah di sisi suami.”
Mendengar nasihat panjang lebar dari Puan Haizum membuatkan sebak kembali bertamu. Lantas, Ain mengetap bibirnya kuat-kuat. Tak mampu lagi dipandang wajah ma dan abah saat itu. Takut air hangat itu kembali mengaburi pandangannya.
“Angah tahu ma...” Tapi Faiq ada orang lain. Macam mana Angah nak terus ada di sisi dia, ma? Dan kenyataan dan soalan itu sekadar dibiarkan bergema dalam hatinya. Biar dia seorang yang menanggungnya. Lantas, Ain menarik nafas pendek dan kemudiannya menahan dalam dada. Biar hilang rasa sebu yang semakin mengocakkan seluruh ruang hatinya.
“Angah, hidup berumahtangga ni ada pasang surutnya. Sedang lidah lagi tergigit, ini pula suami isteri. Angah kena pandai selesaikan masalah. Tapi, bukan dengan cara macam ni. Ni sorang kat utara, sorang nun jauh kat Kolompuq. Macam mana nak duduk berbincang?” Abah menambah.
Ain sekadar mengangguk-nganguk. Tak terdaya rasanya nak menatap wajah abah dan ma saat itu. Dia takut ada airmata yang tumpah di hadapan mereka. Sudah cukup besar rasanya dia menyusahkan hati abahnya kerana merisaukan dirinya. Sudah cukup berat rasanya dia membuatkan hati ma walang mengenangkan dirinya. Cukuplah sekadar itu.
“Angah tau cara Angah ni salah. Angah minta maaf.”
“Bukan dengan abah. Bukan dengan ma. Tapi, minta maaf dekat Faiq.”
Usai menoktahkan kata-katanya, Encik Nazim segera bangun dan berlalu dari situ. Beberapa ketika kemudian, Puan Haizum pula mengekori langkah mereka. Terpaku pandangan Ain pada langkah Puan Haizum hinggalah bayangan ma itu hilang dari matanya. Tanpa sedar, setitis demi setitis airmata jatuh mengenai tangannya yang sedang memeluk tubuh. Terhincut-hincut bahunya menahan esakan.
Dalam kesedihan yang tak bertepi, ada tangan memeluk bahunya dari tepi. Mengenggam erat tangannya yang sudah sejuk beku. Lantas, tubuh itu dipeluk seeratnya. Ain tak mahu tahu siapa yang ada di sisinya saat itu. Yang Ain tahu, cukuplah ada ‘dia’ sebagai teman saat ini. Tak kuat rasanya ditinggalkan keseorangan saat hatinya sedang berperang kuat dengan minda sendiri. Tak tertanggung rasanya kesakitan ini.
Dan, Afiq membalas pelukan si adik lalu membiarkan adiknya itu mengongoi semahunya. Menangislah dik! Kalau itu sahaja ubat kesakitanmu saat ini. Biar jauh dalam hatinya, betapa dia tak rela adiknya diperlakukan begitu. Betapa dia marah dengan apa yang terjadi. Namun apalah daya dia seorang abang kerana semua yang terjadi adalah atas kemahuan adiknya sendiri sedangkan adiknya itu begitu arif akan risiko yang harus dia hadapi. Bertahanlah dik! Allah itu selalu ada untukmu.
*****
Apakah yang engkau cari? Tak kau temukan di hatiku. Apakah yang engkau inginkan? Tak dapat lagi ku penuhi.
Sony Mp3 S Series itu dimatikan. Sebal hatinya dengan lagu-lagu yang ada sedangkan itulah lagu kegemarannya. Namun, bila kenyataan yang sedang dihadapi seperit lirik-lirik lagu yang didendangkan, hatinya meruntun. Kolam matanya terasa penuh. Lantas, dia membuang pandangan jauh keluar dari perut bas. Memerhati dan terus memerhati sedangkan hatinya sudah jauh pergi. Berat kepala memikirkan persoalan demi persoalan yang tak sudah-sudah menujahi benaknya.
Keputusan itu dibuat bukan atas dasar cinta semata-mata. Biar hati terlalu menyayangi, biar diri terlalu mahu bergelar isteri buat lelaki itu, namun keredhaan Yang Maha Esa juga yang diharapkan. Bukan semalam, bukan dua malam tetapi hampir sebulan dia bangun di setiap sepertiga malam. Menunaikan solat sunat tahajjud dan juga solat sunat istikharah mengharapkan jawapan sebaiknya dari Allah S.W.T kerana Ain sedar DIAlah yang menentukan sebaik-baik keputusan buat seorang hamba lemah sepertinya. Dan jawapan itulah yang membawa pada perkahwinan ini.
‘Kau mahu menyalahkan takdir?’
Tidak! Ain terasa seperti mau menjerit menbantah kata godaan syaitan itu. Sekelumit pun tidak ada rasa untuk menyalahkan takdir. Dia cuma diasak seribu satu macam persoalan yang tidak sudah-sudah membelenggu dirinya. Persoalan yang mana; Kalau ini takdir yang ditetapkan, kenapa harus begini jadinya? Kenapa perjalanan tidak selancar yang dia harapkan?
Ya! Ini balasan buat dosa-dosa waktu silamnya. Apakah mungkin ini balasan untuk semua kesakitan yang pernah dia hadiahkan buat orang lain? Atau apakah ini dugaan untuk menduga ketahanan dan ketabahan yang dia miliki? Ain meraup wajahnya sendiri. Dan kalau itulah sebabnya dia diduga begini, makanya Ain redha. Ini jalan takdir buatnya. Ini bahagian dia.
Mungkin aku tidaklah sempurna Tetapi hatiku memilikimu sepanjang umurku Mungkin aku tak bisa memiliki Dirimu seumur hidupku
Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 19: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Menangislah sepuas-puasnya, sayang. Biar nanti, tiada lagi airmata untuk kamu titiskan sebaik sahaja kamu berhadapan dengan si pencetus semua kesakitan kamu. “Okey, abang balik la.”
Faiq meraup wajahnya. Kemudian, dia memalingkan mukanya mengadap Ain yang sudah duduk di birai katil. Tenang dan bersahaja! Itulah reaksi yang terpancar dari wajah milik isterinya.
“Ain please! Abang bukan sengaja nak ajak Ain balik KL secepat ni tapi hal tu penting. Tolong faham abang, sayang. Please!”
Ain menarik nafas panjang. Katakan sahaja hal yang sebenarnya abang. Ain nak tahu. Dan Ain dah lama bersedia untuk hadapi hal ini.
“Ain, please...”
“Abang baliklah dulu. Ain nak duduk sini untuk dua, tiga hari lagi. Abang izinkan ya?” pinta Ain sekali gus mengendahkan permintaan Faiq. Berubah wajah Faiq sebaik mendengarkan permintaan Ain.
“Ain ni kenapa?”
Faiq semakin tidak faham dengan tingkah Ain. Padanya, ianya terlalu kebudak-budakan.
“Jangan tanya Ain kenapa. Tanya diri abang sendiri. Kalau abang rasa abang nak balik, abang baliklah. Dua tiga hari lagi Ain balik,” balas Ain selamba. Dia bangun lalu melangkah keluar dari bilik itu. Dan Faiq melongo. Terkejut dengan perlakuan isterinya itu. Cuma satu perkara yang Faiq tidak sedar, ada airmata bertakung di tubir mata Ain. Tinggal menunggu masa untuk pecah sahaja.
*****
Kalaulah ditebak hatinya saat ini, tak ada lain pasti hanya kelukaan yang ada. Kelukaan yang meninggalkan kesan sakit yang bukan calang-calang sakitnya. Kalau deman, boleh sahaja menelan sebiji dua Panadol Active Fast. Pasti kesakitan itu akan hilang. Tapi ini sakit dalam hatinya? Mana mungkin bisa sembuh biar ditelan sepapan panadol pun.
Kalau sahaja alam ini boleh memahami, lantas berdialog dengan hatinya. Akan dia cerakinkan segala perasaan yang ada biar jadi benci. Akan dia darabkan kesakitan ini, biar bercambah rasa benci itu dengan cepatnya. Juga akan dia bahagikan semua rasa kasih, sayang dan cinta yang ada biar cepat sahaja hilangnya. Namun, dia cuma seorang isteri. Isteri yang tidak dianggap. Yang hanya boleh merintih keseorangan, melirih dalam diam.
Ain memejamkan mata sekuat-kuatnya dengan harapan sebaik sahaja kelopak matanya dibuka, semua episod itu hanyalah hadir sekadar mimpi. Biar ada Faiq di depan matanya. Biar ada semua yang baik-baik sahaja dari suaminya itu. Namun, Ain cepat tersedar sendiri. Biar dipejamkan matanya untuk seribu tahun lagi, yang sedang dihadapinya itu adalah realiti yang harus dia tempuhi. Yang sedang terjadi itu adalah episod hidupnya untuk hari ini.
Lantas, bayangan itu kembali. Sebaris ayat itu sedang terlayar kemas dalam ingatannya. Perkataan itu, susun atur ayat itu, semuanya masih kejap dalam memori kepalanya. Dia bukan buta hati, yang tak tahu menilai bunyi nada sebaris ayat. Dia juga bukan buta bahasa, yang tak tahu memaknakan sebaik-baik maksud buat ayat seringkas itu. Dan dia juga cuma seorang perempuan, yang pasti tercuit hatinya dengan kehadiran pesanan ringkas itu juga dari seorang yang bernama perempuan. Lalu, salahkah prasangka ini? Silapkah curiga yang sedang bermukim dalam hati? Salah dia jugakah untuk terus berprasangka, untuk terus curiga bila si suami pula membohongi diri!
‘Kenapa abang tipu, Ain? Ain tak kuat untuk terima pembohongan abang kali ni. Ain tak setegar itu untuk terus berlagak selamba sedang hati Ain berperang dengan perasaan sendiri. Kenapa abang tipu Ain...' lirih Ain dalam hati. Setitis demi setitis air mata menitis keluar dari matanya. Semakin dielus, semakin kerap ia menitis dan akhirnya Ain membiarkan saja air hangat itu mengalir pada alur pipinya.
Teruslah mengalir wahai si airmata, kalau itu sahaja yang mampu mengusir pergi seluruh kesakitan ini. Tetaplah menitis! Bawa pergi semua bayangan kelam ini, kaburkan sahaja seluruh pandangan ini biar tak nampak lagi sebaris ayat itu. Teresaklah sepuas-puasnya, biar nada esakan ini menjadi muzik terbaik untuk menghapuskan semua pembohongan dia.
‘Ya Allah, jangan Kau ambil kekuatan yang tersisa ini. Jangan Kau rentap pergi ketabahan hati ini.’ Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 18: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Garapan pendek ini adalah garapan dari hati. Munculnya sendiri, datangnya tanpa disedari. Cuma jemari yang memahami. Akan mengertikah kamu, sayang? Dengan hati-hati, pemegang Cariolier untuk Goody Box berwarna-warni milik Puan Haizum ditanggalkan perlahan-lahan. Kemudian, penutup bekas Tupperware Goody Box yang berwarna oren terang itu dibuka. Lalu membebaskan bau harum ikan bakar ramuan istimewa Puan Haizum. Kemudian, satu lagi penutup bekas plastik itu dibuka. Kali ini bekas berwarna hijau daun pisang menjadi mangsa. Nah! Terserlah sudah air asam yang dibuat menggunakan hirisan tomato dan juga bawang besar. Ain sudah tersenyum lebar. Sudah tidak sabar untuk menikmati hidangan.
Puan Haizum pula sudah tergeleng-geleng kepala melihat aksi anak gadisnya. Bagaikan sudah bertahun tidak jumpa ikan bakar dan juga air asam. Ketiga-tiga heronya bersama-sama dengan menantu lelakinya sudah terjun ke dalam air sungai. Begitu juga dengan Encik Nazim. Seronok betul bila dapat bersama-sama menantu sulungnya itu. Di pondok rehat, tinggallah dia bersama-sama Ain menyiapkan hidangan makan tengah hari mereka. Siap menghidang, Ain pantas mengatur langkah ke gigi air.
“Abah, ma panggil. Suruh makan dulu,” ucapnya pada Encik Nazim. Kemudian, Ain memanggil pula abang dan adik-adiknya, juga menyampaikan pesanan yang sama. Cuma pada Faiq, dia mengamit perlahan. Mengharapkan lelaki itu menghampirinya.
“Ain tak nak mandi ke?” soal Faiq yang masih berendam di dalam air. Pantas, Ain mengeleng. “Kita makan dulu ya, abang. Lepas tu baru Ain join abang. Okey?”
“Kalau abang tak nak?” Faiq menduga. Bukannya dia tidak tahu yang Ain sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menjamah hidangan kegemarannya itu. Senyuman Ain mati. “Makan dulu la. Ain lapar ni.”
“Ala, kejap lagi la. Abang tak puas berendam lagi ni. Bagi abang lima minit, boleh?” ujar Faiq cuba berkrompomi. Biar dengan muncung sejengkal, Ain tetap juga mengangguk. Malah tetap di situ menemani Faiq untuk tempoh masa lima minit yang diminta.
“Bila dateline untuk manuskrip Ain tu ya?” soal Faiq tiba-tiba.
Ain yang sedang mengelamun lantas berkerut dahi. Uish, dalam hutan belantara ni pula nak bertanya soal kerja. Potong stim betullah abang ni. “Awal bulan depan dah kena hantar. Dah siap dah. Cuma Ain tengah buat editing sikit. Betulkan mana yang silap. Kenapa, bang?”
Faiq cuba tersenyum menjawab pertanyaan Ain tadi. Lalu, dia segera bangun dan bergerak keluar dari air yang sedang menderu laju. “Nak ke mana?” soal Ain lurus.
“Makanlah.”
“Hah! Tadi abang kata lima minit. Ni belum cukup lima minit pun,” balas Ain lurus. Faiq ketawa.
“Sejak bila pula isteri abang ni punctual sangat? Abang dah lapar la. Jom la kita pergi makan,” ucap Faiq dalam tawa yang masih bersisa. Tangan dihulurkan pada si isteri yang masih bertenggek di atas batu. Ain tersenyum sambil menyambut huluran tangan lalu bersama-sama Faiq menyusun langkah kembali ke pondok rehat.
“Amboi...amboi adik Along ni. Boleh berdrama swasta sampai terlupa dekat ikan bakar dengan air asam kegemaran,” perli Along sebaik sahaja pasangan itu memasuki ruang pondok rehat. Encik Nazim dan Puan Haizum sekadar tersenyum mendengar usikan anak sulung mereka itu. Dalam hati, ada rasa kelegaan bertamu ketika menyaksikan aksi mesra antara Ain dan Faiq. Ya Allah, Kau tetapkanlah bahagia ini dalam rumah tangga mereka, doa hati tua kedua-duanya.
“Awatnya? Along jealous?” sampuk Aryan tiba-tiba. Amsyar pula sudah tersengih-sengih memandang Afiq dan Ain silih berganti. Bagaikan tahu maksud sengihan Amsyar, Ain buka mulut. “Angah rasa kita ni dah nak dapat Kak Long la sebab Along dah pandai jealous sekarang. Kan? Kan?”
Aryan dan Amsyar ketawa kuat. Membiarkan Afiq terkulat-kulat seorang diri.
“Ma, get ready ya,” pesan Aryan pada Puan Haizum.
“Pergghhh! Gila best tahun ni. Awai tahun dapat abang ipaq... hujung tahun dapat kak ipaq pulak. InsyaAllah, tahun depan dapat la anak buah kot. Suka! Suka! Suka!” Amsyar sudah mengimpikan yang bukan-bukan. Pantas, laju sahaja cubitan Ain hinggap di paha kiri adiknya itu.
“Dah la Faiq. Toksah dok layan sangat budak-budak ni. Kalau melayan kang buat lapaq perut ja,” ucap Encik Nazim lalu menyuakan sepinggan nasi putih pada menantunya itu. Faiq menyambut mesra. “Adik, bab anak buah tu insyaAllah. Abang Ngah janji. Tahun depan eh?”
Tersentak Ain mendengar kata-kata yang diucapkan Faiq. Tahun depan? Gulp! Ain telan liur. Berkedip-kedip matanya memandang Faiq yang dengan selamba mencedok air asam lalu diletakkan di atas timbunan nasi. Bagaikan tidak nampak sahaja rona merah yang sudah bermukim di wajah Ain. Perlahan-lahan, terkedek-kedek dia mengatur langkah mendekati Faiq yang sudah duduk di bangku untuk menikmati makanan.
“Abang...” Ain berbisik perlahan.
“Kenapa?” soal Faiq endah tak endah. Ain ketap bibir. Dikerling ke wajah Along dan adik-adik untuk memastikan yang mereka tidak mencuri dengar perbualannya dengan Faiq.
“Serius ke?” soalnya lagi. Juga separuh berbisik.
“Serius la. Abang lapar ni,” balas Faiq sedikit kuat. Ain ketap bibir. Tahu yang Faiq sengaja mahu mengenakan dirinya. Lalu, cepat sahaja dia bangun untuk mencapai pinggan namun langkahnya mati sebaik sahaja terpandang wajah lucu abang serta adik-adiknya yang sedang menahan ketawa. Sebal hati dibuatnya. Lalu, senduk nasi dicapai lalu dimasukkan beberapa senduk nasi ke dalam pinggan. Dua ekor ikan kembung bakar dicapai dan kemudiannya dia mencedok air asam lalu bangun dan duduk di sebelah Puan Haizum. Sengaja mahu tunjuk protes pada Faiq kerana mengenakan dirinya.
Dan Faiq, membulat matanya memandang pinggan nasi milik Ain. Terpegun melihat sepinggan penuh nasi juga lauk-pauk. Fuh! Hebat juga isteri aku ni makan. Juara ikan bakar dan air asam rupanya.
*****
Badannya sudah mengigil kesejukan. Lalu, Ain bingkas bangun lalu duduk bertenggek di atas batu memerhatikan gelagat Aryan dan Amsyar yang masih belum puas bermain air. Dan Faiq pula akur sahaja melayan kerenah kedua-dua adiknya itu. Ain tersenyum sendiri. Tidak dia menyangka, Faiq akan cepat betul mesra dengan kedua-dua adiknya terutamanya Aryan sementelah Faiq adalah anak kedua juga anak bongsu kepada Encik Adnan dan Puan Atifah.
Pegangan di bahu membuatkan Ain tersentak.
“Along ni buat Angah terkejut ja,” ujarnya lalu menyambut huluran kain tuala yang disuakan Afiq padanya. Kain tuala itu ditebar lalu dibaluti ke seluruh tubuhnya yang kesejukan.
“Angah bahagia sekarang?” soal Afiq santai. Ain memandang wajah Afiq lama sebelum membawa pandangan pada tubuh Faiq yang masih seronok bermain air bersama adik-adiknya. Lantas, Ain tersenyum lagi.
“Alhamdulillah Along. Angah bahagia dengan apa yang Angah ada sekarang. Walaupun Angah tak tau apa yang akan jadi pada masa depan, Angah cuma nak nikmati ja apa yang Angah ada sekarang.”
Afiq menarik senyuman nipis. Dia tahu resah adiknya itu. Bertegas dengan keputusan untuk tetap menerima pinangan Faiq walaupun hatinya disakiti berulang kali bukanlah keputusan yang amat mudah untuk Afiq terima. Abang mana yang tega melihat adiknya menangis saban hari. Abang mana yang tak luluh hati melihat adik yang dulunya ceria berubah tingkah dan laku. Dan abang mana pula yang sanggup untuk menolak keputusan seorang adik kalau itu sahaja yang mampu untuk membahagiakan si adik.
“Kadang-kadang, Angah rasa Angah dah dapat seluruh hati dia. Bila Angah dah mula yakin tentang itu, dia akan berubah sikap. Semuanya jadi macam terlalu asing untuk dia. Ya, Angah tahu Angah kena terus kuat sebab ini yang Angah nak. Along doakan Angah ya,” ucapnya dalam lirih yang tiba-tiba hadir.
Lama mata Afiq singgah pada wajah sayu Ain. Dan getar hati, Afiq ukir juga sebuah senyuman nipis buat Ain. Tanda yang dia akan selalu mendoakan yang terbaik buat Ain. Dan senyuman itu, Ain balasi dengan segaris senyuman penuh lirih.
Dalam hati, Ain tekad. Apa juga yang bakal terjadi, dia akan tetap mempertahankan majlis yang dibina. Perkahwinan ini tak akan dia sia-siakan dengan begitu mudah. Dan doanya, semoga Allah S.W.T juga merencanakan yang terbaik buatnya. Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 17: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Perlahan-lahan, akan aku teruskan juga langkah ini biar payah sekali pun. Semoga satu hari nanti kamu akan sedar yang naskhah ini wujud dari cebisan-cebisan ceritera yang pernah wujud antara kita. Sesungguhnya, aku adalah insan yang tak pernah menyesal kerana mengenali kamu.
Pagi itu cerah. Langit membiru ditemani gumpalan-gumpalan awan putih. Berarak seiring. Sang matahari pula terik memancarkan sinarnya. Menerangi seluruh muka bumi Allah S.W.T. Si burung pula galak berterbangan juga berkicauan. Riang mencari makanan. Lalu, Faiq menarik nafas panjang. Membiarkan angin pagi itu memenuhi seluruh ruang rongga nafasnya. Biar sesak dadanya dengan udara sesegar itu.
Puas menikmati udara segar, Faiq bergerak menuju ke pangkin yang terletak di bawah pokok mempelam telur yang sedang berbuah lebat. Lantas, membaringkan tubuhnya. Sungguh, dia puas menikmati keindahan alam pagi itu. Lama sudah dia tidak menikmati suasana begitu; sejak Atuk dan Opah meninggal dunia, mereka sekeluarga jarang sekali pulang ke kampung. Rumah lama tinggalan arwah juga entahkan sudah roboh menyembah bumi. Sayang! Tapi apalah daya dia hanya seorang cucu. Tapi kini, Faiq sudah tersenyum kembali. Kampung Wang Tepus, tanah kelahiran isterinya itu sudah cukup untuk buat dia puas berulit dengan alam. Puas!
“Wah, abang Ngah! Syok nampak dok berangan,” sapa Qairil Aryan yang dipanggil Alang. Adik pada Ain yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini. Lalu, Faiq cepat-cepat bangun lalu duduk bersila mengadap adik iparnya itu.
“Mau tak syok. Kat KL nun manalah boleh dapat suasana yang macam ni. Nak sedut debu kota boleh la,” balas Faiq yang masih belum puas memuji keindahan alam.
“Ya ka? Abang Ngah tak dak kampung ka?” soal Aryan lagi.
Faiq tersengih. “Dulu ada. Tapi sejak Atuk dengan Opah abang meninggal, dah tak pernah balik kampung dah...”
“...itu yang macam rusa masuk kampung tu,” potong Ain yang baru muncul dari dapur. Di tangannya, ada sebuah dulang yang ada teko teh panas bersama dengan beberapa biji cawan dan piring. Segera Faiq bergerak sedikit untuk memberi ruang isterinya meletakkan dulang tersebut. Lalu, cawan dan piring disusun kemudian Ain menuangkan teh panas ke dalam cawan.
“Abah mana, Ain?”
“Hah? Abah. Ada kat dalam tu. Kejap lagi keluarlah. Ain dah cakap dah dekat abah yang kita breakfast kat bawah pokok ni saja. Alang, tolong panggilkan Along dengan adik boleh? Angah nak ke dapur kejap. Ambil kuih.”
“Baik bos!” ucap Aryan dengan gaya seorang polis memberikan tabik hormat pada ketuanya. Kemudian, berlari-lari anak Aryan masuk ke dalam rumah. Ain sekadar geleng kepala melihat telatah adiknya itu sebelum mengatur langkah kembali ke dapur.
Seketika kemudian, Ain muncul kembali bersama-sama dengan Puan Haizum. Di tangan kiri dan kanan Ain, ada dua biji pinggan penuh berisi dengan kuih apam dan juga pisang goreng buat sarapan mereka pagi itu. Manakala, Puan Haizum pula membawa sebiji lagi teko berisikan air kopi pekat. Tak lama selepas itu, Encik Nazim pula muncul bersama dengan tiga heronya; Qairil Afiq atau lebih mesra dipanggil Along bersama-sama dengan Aryan dan juga adik bongsu Ain, Qairil Amsyar tetapi dipanggil adik sahaja.
Faiq cepat-cepat bangun dari pangkin. Memberi ruang duduk buat ibu dan ayah mertuanya. Juga buat si isteri tercinta. Sementara itu, Afiq masuk kembali ke dalam rumah untuk mendapatkan beberapa buah kerusi buat mereka.
“Ni kerusi untuk si jejaka-jejaka handsome ja. Budak-budak bawah umur duduk saja kat tepi-tepi ya,” usik Afiq sambil membetulkan letak kerusi. Aryan dan Amsyar tarik muka.
“Tak aci betui la Along ni,” bentak Amsyar.
“Aci kat India la,” gurau Afiq lagi. Sengaja mahu mengusik adik-adiknya.
“Hahaha..” Aryan pura-pura ketawa. “Tak lawak pun,” sambungnya lagi.
“Alongnya... sudah-sudah la tu mengusik adik-adik. Bagi kerusi tu sorang satu. Dah besaq gajah pun kalut la nak bergaduh,” tegur Puan Haizum. Geram juga dia melihat tingkah anak sulungnya itu yang tidak pernah jemu mengusik adik-adiknya.
“Dari dok usik budak-budak tu, apa kata Along tolong bacakan doa makan. Abah dah lapaq sangat dah ni. Dah terliuq dok perati kuih apam buatan tangan Angah ni. Lama dah abah tak jamah,” sampuk Encik Nazim sekali gus mahu mematikan usikan Afiq untuk adik-adiknya.
Aryan dan Amsyar tersengih memandang Afiq yang terus sahaja menadahkan tangan lalu memulakan bacaan doa makan. Begitu juga dengan Ain dan Faiq. Usai bacaan ditamatkan, laju sahaja Encik Nazim mencapai sebiji kuih apam yang berwarna putih lalu dibahagi dua sebelum dimasukkan ke dalam mulut.
“Abang ni... tak sabaq-sabaq. Tahulah Angah yang buat. Bukan main suka lagi,” usik Puan Haizum pula. “Mestilah suka. Ayaq tangan satu-satunya anak perempuan saya,” balas Encik Nazim.
Ain yang mendengar sekadar tersenyum. Jauh dalam sudutnya, ada sebak berlagu. Dia sedar yang ma dan abah sangat-sangat merindui dirinya. Semenjak bergelar isteri kepada Faiq, cuma sekali mereka pulang ke kampung iaitu beberapa hari selepas tamatnya majlis sambut menantu di rumah Faiq. Itu pun sekadar singgah untuk mengambil barang-barang Ain yang harus dibawa ke rumah baru. Dan sepanjang tempoh itu, hanya telefon yang menjadi penghubung antara mereka.
“Toksah dok syahdu-syahdu la, Angah. Along nak makan ni,” usik Afiq yang sedari tadi ralit memerhatikan riak wajah Ain yang begitu kejap pandangannya pada ma dan abah. Faiq yang tadinya sibuk melayan abah berbual menoleh secara tiba-tiba. Terus sahaja menacapkan pandangan pada wajah si isteri yang sudah mula suram.
“Faiq, nak main takraw tak?” soal Afiq pada Faiq yang asyik memandang wajah Angahnya. Kesamaan umur antara dia dan Faiq membuatkan Afiq lebih selesa memanggil Faiq dengan nama sahaja berbanding adik-adiknya yang mesra dengan panggilan abang Ngah. Faiq terpinga-pinga. “Takraw?” soalnya dengan kerutan di dahi.
“Yelah, main bola takraw. Nak tak?” tanya Afiq lagi. Kali ini disertakan sekali dengan isyarat mata. Dan Faiq dapat menangkap maksud ajakan Afiq tadi. Sedarlah dia yang Afiq ingin memberi ruang hati ke hati buat Ain untuk bersama-sama dengan Puan Haizum dan Encik Nazim. Lalu, cepat sahaja diajak kedua-dua adik iparnya untuk turut serta.
“Awat sedih ni, Angah?” soal Puan Haizum sebaik sahaja ketiga-tiga hero dan juga menantu lelakinya itu berlalu dari situ.
Ain ketap bibir. Tekaknya terasa perit.
“Angah rindu ma. Rindu abah juga,” balasnya dengan suara yang ditahan-tahan. Lalu, Puan Haizum menarik tubuh Ain ke dalam pelukannya. Lantas, mengusap-ngusap perlahan kepala anak gadisnya yang dilitupi tudung Ekin itu.
“Ma pun rindu Angah. Abah pun rindu juga. Tapi, Angah kena kuat. Angah kan dah jadi isteri orang. Mana boleh nak berkepit dengan ma ngan abah macam dulu-dulu. Jadi isteri orang, kenalah duduk dekat dengan suami. Sekali-sekala, Angah balik la kampung jenguk ma dan abah. Macam yang Angah tengah buat ni,” pujuk Puan Haizum lembut. Jiwa anak perempuannya itu perlu dibeli dengan bahasa pujukan yang lembut.
“Faiq macam mana? Elok ka dia layan Angah kat sana?” Abah memulakan soal siasatnya. Ain tersengih mendengar soalan dari Encik Nazim “Ish, abang ni. Ke situ pula soalannya. Awat? Dah takdak soalan lain ka nak tanya anak sendiri?”
Encik Nazim buat muka tak bersalah. Ain pula sudah tersengih panjang. Sambil itu, dia membuang pandangan, memerhatikan gelagat suami tercinta bersama-sama dengan abang dan adik-adik kesayangannya.
“Alhamdulillah, abah. Faiq layan Angah elok ja kat sana. Abah jangan la risau,” balas Ain sejujurnya sementelah memang itu pun hakikatnya. Faiq; suami yang elok budi pekertinya, ada pegangan agama juga penyayang. Walaupun kadang-kala Faiq melayannya bagai endah tak endah tetapi lelaki itu tak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Ah, Ain! Hati kalau sudah menyayangi, disiat halus pun tetap juga sayang.
“Sejuk hati abah dengan ma dengaq,” tambah Encik Nazim lagi lalu segera membasuh tangannya sebelum melangkah mendekati anak dan menantu yang sedang seronok bermain sepak takraw. Seketika kemudian, Puan Haizum pula mendekati mereka. Sengaja mahu turut serta; Bukan mahu main tetapi sekadar mahu memandang. Tinggallah Ain termangu-mangu seorang diri. Memerhati dan terus memerhati gelagat keluarga dan suami tersayang. Diketika itu, hanya senyuman yang menjadi penghias wajah Ain. Betapa dia bahagia memerhatikan suasana itu. Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 16: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Saya sangka saya sudah cukup kuat untuk menongkah hidup bersama kamu atas nama sahabat. Rupanya, hati saya masih belum sepenuhnya menerima hakikat. Takpe, saya tahu rasa ini akan hilang jua nanti. Pasti! Kelajuan kereta ditetapkan pada had yang sepatutnya. Mata masih tetap fokus pada pemanduan. Sesekali, dikalih juga pandangan pada sebelah kirinya. Memandang wajah si isteri yang mulanya beria-ria mahu menemani tapi akhirnya kalah juga pada kehendak matanya. Kemudian, Faiq memandang jam di dashboard; 7.25 minit malam. Melepasi beberapa kilometer, Faiq memberi isyarat ke kiri. Hentian R&R Gurun menjadi tempat persinggahan kedua mereka untuk menunaikan solat Maghrib dan juga mengalas perut yang sudah berkeroncong minta diisi.
Sebaik sahaja memarkirkan kereta dan menanggalkan seat belt, badan segera dikalih mengadap Ain yang masih terlena. Kejap betul tidurnya. Kasihan pula mahu dikejut, desis hati Faiq. Namun, memikirkan kewajipan pada Yang Maha Esa yang masih belum ditunaikan Faiq segera mengejutkan Ain. Dipanggil perlahan nama itu sambil tangannya menepuk lembut bahu si isteri. Terpisat-pisat Ain bangun sekali gus membetulkan cara duduknya.
“Kat mana ni, bang?”
“Konon nak teman abang drive. Alih-alih tanya pulak sekarang kat mana,” perli Faiq. Bibirnya masih mengukir senyuman nipis. Sekadar mahu mengusik si isteri yang masih kelihatan mamai. Ain tarik muncung seribu.
“Ala, maaflah. Ain mengantuk betul tadi,” ucapnya memohon maaf.
“Maaf diterima, cik adik sayang. Sekarang, jom kita gerak ke surau. Solat Maghrib dulu before kita makan. Okey?”
“Okey!”
*****
Pintu restoran makan segera itu ditolak perlahan. Lantas, matanya memandang ke kiri dan kanan mencari kelibat si suami. Lalu, pandangan terhenti pada kelibat Faiq yang sedang melambaikan tangan ke arahnya. Langkah kaki segera diatur menghampiri Faiq.
“Assalamualaikum abang. Sorry, lambat. Ada hal sikit tadi,” sapa Ain lal melabuhkan punggungnya di atas kerusi berhadapan dengan Faiq. Mendengar kata-kata Ain, dahi Faiq berkerut seribu.
“Hal apa pula?”
“Ain pinjamkan telekung Ain pada seorang mak cik tu sebab telekung tak cukup. Itu yang lambat sikit tu. Maaf ya.”
Faiq tersenyum. “Oh, takpe. Abang tak kisah pun. So, Ain nak makan apa?”
Ain terdiam. Berkerut dahi bagaikan sedang memikirkan sesuatu.
“Kenapa?” soal Faiq sekali lagi.
“Ma mesti dah masakkan yang sedap-sedap untuk kita. Takkan kita nak makan kat sini kot?” balas Ain menyampaikan rasa hatinya yang sedang berbelah-baginya. Pada Ain, makanan yang sedang menunggu di rumah adalah yang paling utama sekarang ini sementelah sudah hampir 2 bulan lebih tidak menjamah masakan air tangan ibunya.
Mendengarkan jawapan yang keluar dari mulut Ain, Faiq tergelak kecil.
“Kenapa abang gelak? Betul la apa yang Ain cakap ni,” marah Ain.
“Yelah, abang tahulah yang ma mesti akan masak sedap-sedap. Tapi kan sayang. Masih ada lebih kurang sejam nak sampai ke Jitra nun. Nanti dah sampai, mestilah nak mandi dan solat Isyak dulu kan? Alas perut sikit la sayang, ek?” terang Faiq panjang lebar. Dan kini, giliran Ain pula tersengih malu.
“Owh, ada lagi sejam eh? Okeylah, kita makan sikit. Ain nak burger jer. Apa-apa burger pun boleh.”
“Okey, Ain tunggu sini. Abang belikan.”
Sebaik sahaja Faiq meninggalkan meja, Ain segera mencapai beg tangannya lalu mengeluarkan telefon bimbit. Kekunci telefon ditekan beberapa kali dan diakhiri dengan butang hijau untuk membuat panggilan pada si ibu mertua. Melaporkan perkembangan perjalanan mereka agar tidak merisaukan kedua-dua orang tua yang ditinggalkan usai solat Jumaat pada tengah hari tadi. Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 15: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Garapan ini semakin hari terasa semakin payah untuk aku teruskan. Mampukah aku mencapai target; 50 bab kalau terus-terusan rasa ini ada? Dan mampukah aku bahagiakan penamatnya kalau bukan itu yang sedang terbayang kini? Usai menyudahkan solat Maghrib berjemaah, Ain segera bangun lalu mengatur langkah ke rak buku yang terdapat di dalam bilik solat itu. Mencapai dua naskhah Al-Quran buat dia dan Faiq. Kebiasaannya, rutin itu cuma dilakukan bersama dengan Puan Atifah kerana Faiq dan Encik Adnan selalunya akan menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau berdekatan.
Tetapi malam itu, Faiq memang sengaja mahu berjemaah dengan isteri di rumah sementelah dengan ketiadaan ibu dan abah. Tak tega rasanya mahu membiarkan Ain bersendirian di rumah. Lalu, dia mengambil alih tugas yang selalunya dilakukan oleh ibu dan ayah; Menjadi tukang dengar dan sekali gus memperbaiki bacaan antara mereka.
“Ain baca dulu ya. Biar abang dengar.”
Ain tersenyum lalu mengangguk perlahan. Lalu, dia mula memperdengarkan bacaannya. Sesekali Faiq akan mencelah jika terdapat kesalahan dalam bacaannya. Begitulah seterusnya, Ain pula akan mendengar bacaan Faiq juga saling tegur-menegur. Namun, bacaan Faiq terganggu saat deringan telefon rumah berdering.
“Ain pergi jawab telefon dulu ya, abang.”
Faiq mengangguk lalu meneruskan bacaannya yang terhenti tadi. Ain pula bergegas keluar dari bilik solat dengan telekung yang masih membaluti tubuhnya. Gagang telefon segera diangkat lalu dibawa ke telinga.
“Assalamualaikum Ain,” sapa si pemanggil.
“Waalaikumsalam ibu. Maaf, lambat sikit jawab. Ain dengan abang Adam dalam bilik solat tadi,” jawab Ain membalas pertanyaan si ibu mertua.
“Oh, ibu ingat Ain seorang kat rumah. Itu yang ibu call nieh. Risau juga bila tinggalkan Ain sorang-sorang kat rumah tu.”
Ain tersenyum. Terharu dengan keprihatinan Puan Atifah.
“Tak adalah, ibu. Ain baik-baik saja ni. Ibu janganlah risau. Pandailah Ain jaga diri.”
“Yelah. Hurm, Ain dah makan ke belum?” soal Puan Atifah lagi.
“Belum lagi, ibu. Lepas Isyak nanti, abang Adam kata nak call Pizza Hut Delivery jer. Kenapa ibu?” soal Ain pelik.
“Kalau macam tu, Ain dengan Faiq tunggu jelah kat rumah. Tak payah call delivery. Kejap lagi lepas Isyak abang Alif dengan Kak Alin kau nak hantar ibu dengan ayah balik. Biar kami yang belikan.”
“La, ibu tak tidur sana ke?”
Terdengar bunyi ketawa kecil Puan Atifah di hujung talian. Tergeleng-geleng kepala Ain mendengar alasan yang diberikan Puan Atifah padanya. Ada-ada sajalah, ibu nieh. Sebaik sahaja mematikan talian, Ain bergegas kembali ke bilik solat. Serentak itu juga, azan Isyak juga berkumandang. Dalam hati, Ain menjawab panggilan azan itu.
“Siapa?” soal Faiq sebaik sahaja mengaminkan doa selepas azan yang dibacanya.
“Ibu.”
“Hah! Ibu? Kenapa?” soal Faiq terkejut. Ain tersengih.
“Ibu ingat abang pergi surau. Itu yang saja ibu call tanya khabar.”
“Ibu ni... sayang sangat dekat menantu dia,” gomel Faiq perlahan tapi cukup kuat pada pendengaran Ain. Ain ketawa kecil.
“Biarlah. Ibukan sayang Ain,” balas Ain sengaja mengusik.
Adam sekadar tersenyum nipis mendengar statement perasan dari isterinya itu. Mengiakan pun tidak, menafikan pun tidak walhal dalam hati betapa dia tahu yang ibunya sangat menyayangi Ain. Jika tidak, masakan susah benar mahu dipujuk untuk ke rumah kakaknya di Puchong, Selangor. Macam mahu dibawa ke hujung dunia sahaja gayanya.
*****
Kepingan Pizza Hawaiian Chicken dan juga Chicken Supreme itu dikeluarkan dari kotaknya lalu diletakkan di dalam pinggan besar. Begitu juga dengan kepingan-kepingan kepak ayam. Sementara itu, Alina sibuk menyusun gelas-gelas dan juga jug berisi air oren di atas dulang. Selesai semuanya, mereka berdua segera membawa hidangan itu ke ruang tamu.
Di ruang tamu, kelihatan Faiq yang sibuk berbual dengan abang Alif dan juga Encik Adnan sementara Puan Atifah sibuk melayan karenah Hafiz yang tidak tahu duduk diam.
“Ibu, ayah, jemput makan,” pelawa Ain sambil tangannya ligat memasukkan kepingan pizza ke dalam piring lalu dihulurkan kepada ibu dan abah. Usai itu, laju sahaja tangannya mencapai sebiji lagi piring lalu dimasukkan dua keping potongan pizza lalu berjalan mendekati Faiq.
“Jemput makan, bang.”
Melihat piring yang disuakan untuknya, Faiq senyum lagi. Sebaik sahaja piring bertukar tangan, Ain segera bangun lalu mendekati Hafiz yang sudah leka dengan dunianya. Rindu benar rasanya pada budak kecil itu.
“Ain, makan dulu. Jangan dilayan sangat Hafiz tue,”larang Puan Atifah. Tak senang duduk dibuatnya melihat menantu yang seorang itu masih belum tergerak hati untuk makan. “Takpe, ibu makanlah dulu. Ain dah rindu betul kat Hafiz ni.”
“Ain...”panggil Puan Atifah lagi.
“Mari makan dulu, Ain. Ibu ni tak senang duduk selagi Ain tak nak makan,” panggil Alina pula. Faham benar akan perangai ibunya itu. Tambahan pula, sejak Ain memegang status menantu perempuan ibu makin bertambah-tambah sayang orang tua itu pada Ain.
“Ibu ni tak adil betul la. Sayang Ain lebih dari sayangkan anak sendiri.”
Dahi Puan Atifah berkerut seribu mendengar kata-kata Faiq. Dan Encik Adnan pula ketawa kecil. Begitu juga dengan Alina dan Alif.
“Apa pulak ibu tak sayangkan anak-anak ibu?” soal Puan Atifah pelik.
“Yelah. Sikit-sikit Ain. Ain itu. Ain ini. Faiq ni macam tak wujud je depan mata ibu,” rajuk Faiq lagi. Kini, giliran ibu pula ketawa. Tak sudah-sudah dengan perangai budak-budak anak lelakinya itu.
“Dah keluar dah perangai budak-budak dia tueh,” sampuk Alina. Faiq juih bibir.
“Macam manalah Ain boleh tahan dengan budak tua nieh?” Soalan Alina kini beralih pada Ain pula. Kadang-kadang, pelik juga dia melihat Ain yang begitu sabar dengan tingkah dan perilaku adiknya yang seorang ini. Kalau perempuan lain rasanya, mahunya lari ke hujung dunia.
“Tahan jelah, kak. Nak buat apa lagi. Ini rezeki yang Tuhan bagi.”
Faiq di sebelah ketap bibir. Alahai, sudah pandai menjawab pula isterinya ini. “Kalau Ain cakap lagi, hujung minggu ni kita tak payah pergi mana-mana,” ugut Faiq.
“Mana boleh...” bangkang Ain laju.
“Nak pergi mana pulak?” soal Puan Atifah mencelah. Mendengarkan pertanyaan Puan Atifah, kedua-duanya diam membisu. Sudahlah rancangan itu masih belum dimaklumkan, sudah terbocor rahsialah pula.
“ Ibu, Faiq ingat nak bawa Ain balik Jitra. Tengok ma dengan abah kat kampung,” balas Faiq lambat-lambat.
“Hah, baguslah Faiq. Ayah ingat kamu dah tak ingat lagi dah kat kampung isteri kamu tueh. Sejak habis majlis kat Jitra dulu, dah tak pergi sana kan?” potong Encik Adnan segera menyokong keputusan Faiq itu sekali gus menutup mulut Puan Atifah. Kalau diikutkan Puan Atifah, manalah dia mahu melepaskan menantunya itu.
Faiq dan Ain pula menarik nafas lega.
“Kalau macam tu, lepas solat Jumaat nanti Alif jemput ibu dengan ayah. Hujung minggu kat sana saja ya, ibu,” usul Alif Amre pada ibu. “Takde lagi alasan, bu,” sambung Alina pula. Puan Atifah diam sahaja. Menurut sahaja kehendak anak-anaknya. Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel
Back to Top
|
Part 14: Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Melihat awak bahagia dengan pilihan hati awak adalah perkara yang akan mengundang sebak dalam hati saya tapi cukup untuk buat saya tenang kerana saya tahu awak bahagia. Mendengar bunyi deruman enjin kereta, Ain bergegas ke muka pintu. Hari ini, memang sengaja Ain berbuat begitu. Memang sengaja Ain menunggu kepulangan Faiq. Biar Faiq tahu yang dia benar-benar sedar akan kehadiran lelaki itu kecuali semalam; saat dia ralit dengan jarum dan benang kait. Cepat sahaja pintu utama rumah itu dibuka. Selipar disarung lalu dia berjalan menghampiri kereta Peugeot 308 berwarna hitam yang sudah tersadai di tempat parkir kereta.
“Assalamualaikum abang.”
Faiq yang ketika itu sedang mencapai briefcase cepat menoleh. Berkerut dahinya memandang wajah isteri yang sedang tersenyum.
“Waalaikumsalam. Ain tunggu sapa kat luar ni? Ada tetamu nak datang ke?” soal Faiq sambil menyambut huluran salam dari Ain. Pantas Ain mengeleng. Melihat jawapan yang terzahir dari pergerakan Ain buat dahi Faiq berkerut seribu. Buang tabiat ke isteri aku ni? Lantas, cepat sahaja belakang tangannya dibawa ke dahi Ain.
“Ain sihat la, bang.”
“Dah tu? Kenapa pelik sangat perangai petang ni?”
“Saja.”
Faiq cepat-cepat keluar dari kereta, lantas menekan alarm untuk mengunci kereta kesayangannya itu. Usai itu, cepat sahaja tangan Ain dicapai lalu dipimpin masuk ke dalam rumah. Ain sekadar menurut. Dalam hati, panjang doanya mengharapkan agar ucapan kemaafaannya pagi tadi diterima.
“Sunyi jer rumah. Ayah dengan ibu mana?”
“Ayah dengan ibu ke rumah kak Alin. Tadi abang Alif datang ambil. Maybe dorang tidur sana malam nieh,” balas Ain lancar. Sambil itu, dia mencapai briefcase dan juga tie yang ditinggalkan Faiq di atas meja kopi lalu diletakkan di tempat yang sepatutnya.
“Abang mandi dulu tau. Ain nak siapkan minum petang,” sambung Ain meninggalkan pesan.
“Ada juga minum petang?” soal Faiq hairan. Sambil itu, panjang sahaja dia melangkah mengekori Ain ke ruang dapur.
Ain tersengih lagi. “Adalah. Special untuk abang.”
“Nak pujuk abang la tu. Ingat abang tak tahu ke akal panjang Ain tu? Itu yang tunggu abang balik kan?” balas Faiq sengaja ingin mengusik. Ternyata ‘mogok’ Milo pagi tadi membuahkan hasil. Gentar juga Ain dengan mogoknya.
“Mestilah kena pujuk. Tak senang hati Ain tau bila abang tak nak breakfast pagi tadi.”
Faiq ketawa kuat. Senang hati dengan pengakuan berterus-terang dari Ain.
“Suka la tu. Eh, abang dah inform ayah ngan ibu belum pasal plan kita hujung minggu ni?” tanya Ain sambil tangannya ligat menyusun cawan putih berbunga merah jambu di atas talam. Usai itu, Ain membuka tudung saji lalu mengeluarkan pinggan yang berisi onde-onde berintikan kelapa.
“Belum. Ingat nak inform semalam tapi...”
“...termerajuk la pulak kan?” potong Ain lalu ketawa kecil.
Faiq geleng kepala mendengar kata-kata Ain.
“Nakal eh?”
Ain tersengih lagi. Gembira benar hatinya bila melihat senyuman yang terukir di bibir sang suami. Sudah pasti benar dia yang ucapan maafnya pagi tadi sudah diterima Faiq. Sungguh, kegembiraan Faiq adalah segala-galanya baginya. Biar ditarik semua kebahagiaan yang dia ada, jika ianya untuk Faiq pasti Ain rela.
“Abang, pergi la mandi dulu. Dah solat Asar ke belum ni? Dah lewat dah ni,” bebel Ain. Faiq ketawa sahaja melihat bibir comel Ain yang sedang terkumat-kamit membebelkan dirinya.
“Solat Asar dah. Kat office tadi. Mandi jer belum. Abang nak makan dulu. Boleh eh?”
Ain ketap bibir.
“Alah, abang mandi la dulu. Lepas tu, kita makan yer.”
“No. Abang nak makan dulu. Abang dah rindukan Milo abang.”
“Sape suruh abang jual mahal pagi tadi? Salah abang jugak kan?”
“Yelah, memang salah abang pun. Sekarang, Ain tak payah bebelkan abang lagi. Jom, kita makan kat luar,” balas Faiq pantas lalu mencapai dulang berisi cawan dan sepinggan onde-onde. Ain sekadar mengelengkan kepala sambil tersenyum melihat tingkah laku kebudak-budakan suaminya. Labels: Bintang Jangan Pernah Pergi, BJPP, e-novel

tagboard.
|
archives.
By post:
ps: ily
Part 32: Bintang! Jangan Pernah Pergi
Part 31: Bintang! Jangan Pernah Pergi
Part 30: Bintang! Jangan Pernah Pergi
Part 29: Bintang! Jangan Pernah Pergi
Part 28: Bintang! Jangan Pernah Pergi
Part 27: Bintang! Jangan Pernah Pergi
Part 26: Bintang! Jangan Pernah Pergi
Part 25: Bintang! Jangan Pernah Pergi
Part 24: Bintang! Jangan Pernah Pergi
By month:
May 2009
June 2009
August 2009
December 2009
February 2010
March 2010
April 2010
May 2010
June 2010
July 2010
May 2011
|
affiliates.
Credits
Layout: Mary
Colours: refuted
Host: blogger
|
author.
Seorang gadis yang cintakan bahasa, gemar berimaginasi dan suka menulis dengan tujuan untuk mengabadikan semua rasa yang pernah dilalui. Sekadar diolah mengikut situasi dan digabungkan untuk satu jalan cerita.
|