status.

Keputusan ini? Benarkah?

06.05 pm | 01 July 2010

song.

♥ BJPP Playlist ♥


Nak feel yang lebih? Play this player and enjoy your reading. =)

follow me.

Follow me on BLOGGER

nukilan.

Bintang! Jangan Pernah Pergi
Blurb B1 B2 B3 B4 B5 B6 B7 B8 B9 B10 B11 B12 B13 B14 B15 B16 B17 B18 B19 B20 B21 B22 B23 B24 B25 B26 B27 B28 B29 B30 B31

I Love You, Aisy; Yes, I Do!(hold)
P1 P2

Que Sera Sera; Whatever Will Be, Will Be(hold)
Part 1 Part 2 Part 3 Part 4 Part 5

Cerita Pendek
Mengintai Bahagia
Penawar Kasih
Kalau Dah Jodoh
Tercipta Untukku
Kemaafan Dendam yang Terindah

wishlist.

DSLR Camera
Ipod Classic
Sony Vaio
Printed Version of BJPP
No Limit Japanese DVD
Own Novel
Trip to Aussie,NZ&Japan
Watching Theater

Part 10: Bintang! Jangan Pernah Pergi

Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Kalau sahaja perasaan ini jatuh hukumnya haram di sisi kamu, maka biarkan aku terus berdosa kerana tetap sahaja mahu menyintai kamu.
“Abang...errmm... B.. ”

Bicara itu tergantung begitu sahaja. Cuma, jemari sahaja yang masih ligat mengemaskan kolar baju kemeja yang dipakai Faiq seusai sahaja dia menyudahkan ikatan tie di leher suaminya itu. Memang itu tugasannya setiap pagi. Biar seribu kali hatinya disakiti Faiq, tetap jua dia setia dengan tugasan yang satu itu. Berpeluang berada disisi Faiq sedekat itu, lantas mengambil harum bau tubuh suaminya adalah satu perkara yang tidak akan dia lepaskan.

Sebaik sahaja berpuas hati dengan kerja sang isteri, cepat sahaja Faiq mencapai jemari Ain yang masih lagi bermain-main di hujung kolar bajunya. Lalu, dia menarik perlahan tangan itu lantas menyuruh Ain duduk di atas katil mereka. Terpinga-pinga Ain dibuatnya dengan tingkah lain macam suaminya pagi itu. Sudah kembalikah perangai lamanya? Ain bermonolog sendiri. Anak matanya masih tertancap kemas pada tubuh Faiq yang sedang duduk berlapik lutut di depannya. Memerhati tingkah lelaki itu membuatkan dahinya berkerut seribu.

“Apesal dahi berkerut macam tu? Fikir apa?”

Laju Ain mengeleng. Sedar yang dia tertangkap kerana terlalu lama meneliti lelaki yang bergelar suami itu.

“Ain nak cakap apa tadi?” Faiq menyoal lagi.

Ain ketap bibir. Masih memikirkan tentang niat yang satu itu.

“Ain...” Bicaranya mati disitu.

“Ain?” Dahi Faiq berkerut. Apa yang sedang bermain dalam fikiran isterinya itu, dia kurang pasti.

“Ain rindu ma. Rindu abah jugak.”

Demi mendengarkan pengakuan Ain, Faiq tersengih sahaja. Itu sahaja rupanya yang sedang difikirkan Ain. Melihat pada rupa, bagaikan sedang memikirkan tentang masalah dunia sahaja.

“Hujung minggu ni, kita balik Jitra ya. Mahu?” soal Faiq masih dengan senyuman di hujung bibir. Mendengar sahaja kata-kata itu, Ain pantas mengangkat kepalanya. Memandang wajah Faiq yang sedang tersengih-sengih di hadapannya.

“Betul?” soal Ain perlahan.

Faiq mengangguk tanda mengiakan percakapannya tadi.

“Sayang abang,” ucap Ain lalu segera memeluk tubuh suaminya itu. Hilang pergi segala rajuk yang bermukim di hati. Lenyap sudah kesakitan yang semalam terasa menyiat-nyiat lumat hatinya. Dia terlalu gembira kerana Faiq masih sudi menemaninya pulang ke kampung. Sangkanya tadi, pasti Faiq akan menyuruhnya pulang sendirian dengan menaiki bas sahaja.

Faiq diam terpana. Terkejut dengan perlakuan isterinya yang sedang bergembira itu. Seronoknya bagaikan seorang anak kecil yang diberi pelepasan untuk bermain sendirian. Wajahnya berseri-seri bagaikan baru mendapat bulan. Namun, hatinya terasa sebak tiba-tiba. Betapa dia selalu menyakiti perempuan ini dengan ucapan dan jawapan yang menyakitkan, namun perempuan ini tetap juga menyatakan sayangnya pada dia. Ya Allah, hati jenis apakah yang Kau berikan untuk disayangi oleh aku, Tuhan?

“Kenapa abang diam tiba-tiba ni?”

Faiq terpinga-pinga. Lalu, dia memandang wajah Ain yang sudah mula kelam serinya ditelan kerisauan. Lama sekali anak mata Ain berlabuh pada wajahnya. Mengharapkan satu jawapan pasti untuk satu pertanyaan yang jelas lagi nyata maksudnya.

“B lapar la, sayang.”

“Huh! Abang nieh buat Ain risau sajalah. Ingatkan apalah tadi. Kalau lapar, jom la kita turun sarapan. Ayah dan ibu mesti tengah tunggu kita tu,” balas Ain selamba. Segera dia bangun lalu memimpin tangan Faiq keluar dari bilik.

“Ain...”

“Ish, sabarlah abang nieh. Kalau lapar sangat, jalan tu biar laju-laju sikit,” potong Ain laju.

“Tapi...”

Ain mematikan langkah lalu segera memusingkan badannya mengadap Faiq sambil menghadiahkan pandangan ingin tahu pada Faiq.

Briefcase B...” ucap Faiq sepatah-sepatah.

Ain menepuk dahinya. Tersengih malu dia dibuatnya bila membalas pandangan Faiq yang nyata selamba sahaja. Laju sahaja dia membuka langkah mendekati meja kerja suaminya di penjuru bilik mereka. Merah wajah dibuatnya.

“Siapa yang lapar sebenarnya nieh?” soal Faiq mengusik. Ain diam sahaja. Malas untuk membalas percakapan Faiq kerana sedar akan kekalutan dirinya sebentar tadi.

Cepat sahaja Faiq mendekati Ain lalu memimpin tangan itu turun ke ruang makan. Tersenyum bahagia Encik Adnan dan Puan Atifah bila memandang pasangan itu yang sedang berpimpinan tangan. Ya Allah, tolong bahagiakan rumah tangga mereka, desis hati tua mereka. Mendoakan yang terbaik buat anak dan menantu.

Labels: , ,


Back to Top

Part 9: Bintang! Jangan Pernah Pergi

Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Setekad-tekad keputusan saya ini, rupanya masih tersisa satu rasa yang sukar untuk saya fahami setiap kali melihat, mendengar dan mengingatkan kamu.
‘Tik’

Cepat-cepat, Ain mencapai cerek air lalu menuangkan air yang baru masak itu ke dalam mug yang sudah terisi dengan beberapa sudu serbuk Milo dan susu tepung dan juga gula. Lalu, dia mencapai sudu lalu mengacau campuran itu hingga sebati. Selesai itu, dia mencampurkan sedikit air kosong agar minuman itu tidak terlalu panas.

Mug berwarna hijau pucuk pisang bercorak abstrak itu diangkat lalu dibawa menuju ke perpustakaan mini milik keluarga mertuanya itu. Walau hatinya sebenarnya ragu-ragu dengan penerimaan Faiq, namun dia tegarkan jua hati. Dengan lafaz bismillah, Ain mengetuk perlahan pintu kayu yang sedang tertutup rapat itu. Dari dalam kedengaran suara suaminya menyuruh agar pintu itu dibuka sendiri.

Lalu, tombol pintu berwarna keemasan itu dipulas perlahan. Jelas kelihatan pada penglihatannya, wajah serius Faiq yang sedang mengadap skrin laptop miliknya. Perlahan sahaja dia membawa langkah mendekati suaminya yang masih leka dengan laptop di hadapannya. Ain berlagak biasa. Sepertinya dia sudah biasa dilayan begitu. Padahal, betapa hatinya sedang belajar untuk menerima keadaan itu sementelah tenang dan lancar sahaja perjalanan kisah hidupnya sejak bergelar isteri pada Muhammad Adam Faiq.

Catatan terindah yang berlaku dalam hidupnya beberapa minggu lalu kini semakin hambar sahaja dia rasakan. Sejak diserahkan satu-satunya lambang kegadisannya, betapa tanda dia begitu memelihara mahkota yang satu itu khas buat yang bergelar suami namun kenapa pengakhirannya tidak seindah pasangan lain? Ain buntu sendiri. Jawapan itu hanya ada pada Faiq. Hanya lelaki itu sahaja yang mampu menjawab soalan hatinya. Namun, tegakah dia untuk mendengar jawapan itu?

Ain ketap bibir. Kaku kakinya memandang Faiq yang langsung tidak menoleh ke arahnya. Lagak dia hanya salah sebuah di antara almari-almari buku yang ada di dalam perpustakaan mini itu. Ahh, teganya kau suami memperlakukan isterimu begini. ‘Mungkin dia tak perasaan Ain.’ Ada suara positif berbisik di hujung telinga.

“Abang.”

Jemari Faiq yang tadinya ligat menari di papan kekunci serta-merta terhenti. Perlahan dia mengangkat muka. Memandang susuk tubuh yang sedari tadi kaku menguncikan langkah bersebelahan dengannya. Lalu, pandangan dia alihkan pula pada sebiji mug berwarna hijau muda yang ada dalam pegangan si isteri. Entah kenapa, bibir yang selalu ligat memuntahkan kata kini bagai terkunci rapat. Gulp!

“Nieh, Ain buatkan air Milo untuk abang...”

“Abang tak haus.”

Cepat saja bibir Faiq memotong percakapan. Ain ketap bibir.

“Kejap lagi kalau abang haus, abang minumlah. Kalau tak haus, abang biar je kat situ.”

Ain cepat-cepat memusingkan badannya. Dia mahu segera keluar dari bilik itu. Dia tidak kuat untuk terus membiarkan hatinya diasak dengan pertanyaan dan jawapan yang entah kenapa semuanya dirasakan begitu sinis untuknya. ‘Abang, kemahuan Ain sajakah yang membawa pada perkahwinan kita nieh? Kemahuan Ain sahajakah? Atau, abang memang mahu menjadikan Ain isteri abang agar senang untuk abang sakitkan hati Ain berterusan begini?’

Namun, langkahnya mati saat dia merasakan yang pergelangan tangannya ditarik. Bagaikan terkena kejutan elektrik, Ain diam kembali. Hanya tegak berdiri membelakangi Faiq. Membiarkan pergelangan tangannya berada dalam genggaman tangan Faiq. Sengaja! Memang dia sengaja.

“Marah?” soal Faiq lembut. Dia juga dalam kejutan sebenarnya. Terkejut dengan reaksi spontan dirinya mencapai pergelangan tangan Ain bila melihat isteri yang mahu membuka langkah untuk beredar.

Ain angkat wajah. Kali ini dia dikejutkan pula dengan soalan Faiq yang berunsurkan ambil berat dengan nada suara yang lembut; Yang sudah hampir seminggu dia tidak dengari. Yang ada untuknya sepanjang waktu itu hanyalah soalan berunsur perlian, jawapan yang sinis, pandangan mata yang seperti membenci dirinya. Abang, apa pula kali ini? Cepat-cepat, Ain mengelengkan kepala. Menafikan sangkaan Faiq. Untuk apa dia perlu marah? Kerana Faiq itu suaminyakah?

“Kalau tak marah, kenapa cepat sangat nak beredar? Seronok sangat ke memerap dalam bilik itu dari teman B kat sini?” tanya Faiq kembali.

“Perlu ke Ain ada kat sini?”

Dush! Faiq terpempan. Dia kenal bentuk soalan itu. Memang itulah soalan wajib dia buat Ain setiap kali Ain mempertikaikan sesuatu dengannya. Dan kali ini, soalan itu pula yang diajukan Ain buatnya. Lengkap berpakej bersama dengan riak wajah selamba dan tenang seperti yang selalu dia lakukan. Sudah pandai bermain tarik tali rupanya, isterinya itu.

“Takpelah kalau Ain cakap macam tu. Pergilah duduk dalam bilik tu,” balas Faiq serius lalu kembali memandang skrin laptopnya.

Ain segera memandang Faiq sekilas. Secepat itukah abang mengalah untuk Ain? Lalu, cepat sahaja Ain mengangkat kaki lalu segera keluar dari bilik yang dirasakan semakin panas itu. Walau jauh dalam sudut hatinya, betapa dia ingin untuk menemani lelaki itu menyiapkan tugasannya.

Dan langkah itu dihantar Faiq ke muka pintu dengan lirikan matanya. Itukah rasa yang dia berikan pada Ain setiap kali dia melakukan perkara sama buat isteri itu? Berdendamkah kau, sayang? Faiq meraup mukanya.

Labels: , ,


Back to Top

Part 8: Bintang! Jangan Pernah Pergi

Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Sedarlah aku kini duhai lelaki kesayanganku. Aku tak akan pernah berada dalam hatimu sekali pun aku bergelar isterimu. Lalu, apakah maknanya kau melamar aku menjadi surimu?
Berulang kali dia cuba mengulangi ayat yang sama juga pada perenggan yang sama. Tapi, tetap juga gagal untuk dia fahami. Lantas, novel setebal 500 muka surat itu ditutup lalu diletakkan di sebelahnya. Ain gelisah. Menyandar tak kena. Duduk pula terasa kebas punggungnya. Lalu, badan sengaja dibaringkan sambil matanya tegak memandang siling bilik itu. Lama sekali dia memandang siling puith itu tanpa sedar sudah ada mutiara hangat yang melewati pipinya.

Kenapa menangis lagi, Ain? Bukan ke ini yang kau mahukan?

Ain ketap bibir. Cuba menahan sebak yang makin berladung dalam hatinya. Lantas, dia mengubah posisi baringnya. Mencapai bantal peluk lalu memeluknya erat. Begitulah dia setiap kali ada kesedihan yang bertamu dalam kamus hidupnya. Cuma selalunya, dia ditemani Bobo; Anak patung beruang kesayangan yang sudah disembunyikan Faiq.

Tangisannya terasa makin hebat mengoncang hati. Cepat-cepat dia membenamkan mukanya pada bantal peluk itu. Menghalang esakan dari terus kuat kedengaran. Terhenjut-henjut badannya menahan esakan yang maha hebat berkunjung kali ini. Dalam hati, sehabis daya dia cuba memujuk hati sendiri. Dikerah sejuta alasan buat hadiah untuk hatinya sendiri. Agar dia terus bisa bertahan dengan kehendaknya sendiri. Pilihannya!

Ya Allah, salahkan keputusanku ini? Jikalau salah, kenapa wajah dia juga yang mengunjung mimpi-mimpi aku lewat istikharahku, Tuhan? Ain bermonolog sendirian.

Di sebalik pintu bilik, ada mata yang sedang memandang. Memandang sekujur tubuh yang dengan terhenjut-henjut menahan tangisan. Malah, jelas sekali bunyi esakan kecil yang sedang berlagu sendu di telinganya. Jauh di sudut hati, ada sebak bertamu. Ada kepedihan melingkari hatinya. Rasa apakah ini, Tuhan?

“Stop it, Ain!”

Keras suara itu mengejutkan Ain. Tegak tubuhnya dek kerana terkejut dengan sergahan itu. Dan lama sekali dia memandang batang tubuh yang berada tidak jauh darinya.

“Kalau iya pun abang bencikan Ain, tak boleh ke cakap elok-elok dengan Ain?” soalnya perlahan namun masih terlalu jelas di pendengaran Faiq gara-gara kesunyian yang membungkam antara mereka. Hilang terus nama panggilan manja buat Faiq.

“Perlu ke?” soal Faiq lagi.

Ain terkaku sendiri. Usah bertanya apa-apa pada Ain kalau sahaja soalan itu untuk melukakan hati Ain, bang. Cepat-cepat, Ain mengelus airmata yang begitu murah menuruni pipinya. Tegarlah, sayang. Tetaplah kuat dengan dugaan maha hebat ini.

Lama, anak mata coklat bundar miliknya jatuh pada wajah Faiq. Cuba mencari secebis rasa yang mungkin masih tersisa buat dirinya. Kenapa begitu cepat abang berubah? Lalu, Ain cepat-cepat turun dari katil lalu segera ingin membawa langkahnya keluar. Keluar dari bilik yang pernah memberi sejuta rasa bahagia terlalu indah buatnya.

“Nak ke mana tueh?”

Soalan itu dibiarkan berlalu dibawa angin. Tak perlu abang tahu mana Ain nak pergi. Abang bukannya pernah peduli. Iyakah, abang? Lalu, dia mengiakan sendiri soalan hatinya itu.

Faiq hanya diam memandang. Sekali lagi aku sakiti hatimu, isteri.

Labels: , ,


Back to Top

Part 7: Bintang! Jangan Pernah Pergi

Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: BJPP berlangsung secara perlahan gara-gara kekangan masa. Tunggu April tiba, banyak masa menunggu di waktu itu.
Setitis demi setitis air hangat itu jatuh dari pelupuk matanya. Sekuat mungkin, dia cuba menyembunyikan rasa. Tapi, bagaimana untuk dia mengepung rasa yang sedang membungkam dalam dada bila saat kelopak matanya dibuka dan lelaki kesayangannya itu tiada di sebelahnya?

Lantas, Ain menyeka airmatanya. Ini jalan yang kau pilih, Ain. Makanya, teruskan tegar seperti selalu. Ini bukan pertama kalinya, Ain. Ini sudah untuk kali yang ke-berapa entah; Sudah tidak terkira. ‘Tapi, kenapa selepas semalam?’

Ain mengutuk diri sendiri. Perlahan, dia bangun dari katil lalu terus membawa langkah ke bilik air yang berada di hujung bilik itu. Sepi; Hanya kedinginan yang sedang mengigit dirinya. Sedang mengejek dia mungkin lantas, dingin itu tak tertanggung rasanya pagi itu.

Usai mengenakan sehelai blouse labuh berwarna kuning cair dipadankan dengan sehelai slack berwarna putih gading juga sehelai tudung bawal dari rona sama, Ain segera turun ke bawah. Menyediakan sarapan seperti biasa. Lantas, mampu membawa jauh hatinya dari mengenang peristiwa semalam. Dicapai sotong, udang dan juga kepingan dada ayam lalu diletakkan berdekatan sinki. Dipotong kecil dan juga dibasuh bersih lalu Ain mencapai pula kubis yang sudah tinggal sebelah itu. Diracik kecil lalu dicampurkan bersama dengan potongan udang, sotong dan ayam tadi.

Selepas itu, dicapai pula mangkuk sederhana besar lalu dimasukkan tepung gandum, serbuk ikan bilis dan juga dua biji telur ayam. Digaul hingga sebati lalu dia menuangkan bahan-bahan yang sudah dipotong tadi ke dalam mangkuk itu. Digaul perlahan sehingga rata. Usai dibersihkan tangannya, dia mencapai sebiji pan lalu diletakkan di atas dapur. Beberapa minit kemudian, empat keping okonomiyaki telah tersedia untuk hidangan sarapan mereka.

Okonomiyaki. Makanan Jepun kegemaran suaminya. Dan lelaki itulah yang minta disediakan untuknya pagi ini. Ah, Ain! Sudah diracik halus hatimu, tetap jua mahu menunaikan permintaannya. Takpelah, dia suamiku.

Selesai meletakkan pinggan berisi kepingan okonomiyaki tadi, Ain kembali ke dapur. Menyediakan seteko teh panas untuk sarapan mereka pagi itu. Juga dikeluarkan roti Gardenia dan juga sebotol jem strawberry dan juga sebotol kaya; Kegemaran bapa mertuanya.

******

Faiq merenung kepingan okonomiyaki yang terletak di atas meja makan di ruang makan rumah banglo Semi-D itu. Lantas, anak matanya tercari-cari kelibat isteri yang tidak muncul-muncul. Hah! Lama benarkah masa untuk menyediakan seteko teh panas? Selalunya, pantas sahaja. Dia mengumam sendiri.

Puan Atifah dan Encik Adnan berpandangan. Lain benar tingkah anak dan menantu mereka pagi ini. Selalunya bagai belangkas. Jika boleh, ke tandas juga mahu mengekor. Tapi, pagi ini lain pula suasana yang menjadi habuan mata mereka. Sedang bergaduhkah mereka? Alahai anak menantu.

Baru sahaja Faiq mahu angkat punggung, Ain muncul dengan seteko air. Perlahan, Ain menuangkan teh yang masih berasap itu ke dalam cawan sebelum diserahkan pada ayah dan ibu mertuanya. Tidak lupa, buat lelaki kesayangannya. Faiq tak jadi angkat kaki.

“Makan ayah, ibu. Maaf, lambat sikit tadi.”

Puan Atifah tersenyum. Cepat sahaja jari-jemarinya mencapai kepingan roti lalu disapu kaya lalu disuakan pada suaminya. Dan Encik Adnan menyambung dengan rasa girang. Tinggal Faiq dan Ain sahaja yang sendiri melayan selera masing-masing. Dikuis-kuis perlahan kepingan okonomiyaki yang sudah berada di dalam piring di hadapan mereka. Sesekali, Ain memandang Faiq yang diam tidak berkutik. Dan bila Ain menunduk pandangan, Faiq pula berkelakuan begitu.

Berkerut dahi Encik Adnan dan Puan Atifah memandang gelagat pasangan muda itu. Masing-masing mahu menunjuk ego. Atau sedang segan pada mereka? Encik Adnan memandang wajah isterinya. Bagaikan memahami maksud pandangan Encik Adnan, Puan Atifah segera menyudahkan sarapannya. Cepat-cepat dia menghirup teh yang sudah suam itu, lantas cepat-cepat bangun mengekori sang suami. Sengaja mahu memberi peluang pada anak menantu.

“Mogok suara?” soal Faiq sebaik sahaja batang tubuh ayah dan ibunya itu lenyap di sebalik dinding pemisah antara ruang makan dan ruang tamu.

Ain telan liur mendengar kata-kata dari Faiq.

“Takdelah. Saja, malas nak bercakap. Bazir air liur jerk,” balasnya selamba.

Melotot mata Faiq memandang dirinya. Kalau bab menjawab memang serah kat dia, omelnya dalam hati.

“Hurm, takpelah kalau membazir. Nieh, Ain habiskanlah. B takde selera nak makan,” balas Faiq sambil menolak piring ke tengah meja. Segera dia bangun lalu beredar pergi meninggalkan Ain yang terkulat-kulat memandang.

Terdiam Ain memandang langkah kaki suaminya itu. Lalu, dipandang pula kepingan okonomiyaki yang langsung tidak disentuh suaminya. Perlahan, kepingan itu dikoyak kecil lalu dicicah dengan mayonis lantas dibawakan ke dalam mulutnya. Kepingan kecil itu dikunyah perlahan lantas ditelan. Kesat! Terasa seperti menelan pasir sahaja. Lalu, ada airmata yang cepat sahaja menodai pipi putih bersihnya. Sabarlah hati.

Labels: , ,


Back to Top

I Love You, Aisy - Part 2

i love you, aisy. Yes, i do!
NotaSelit: Ohh, terima kasih Tuhan. Mujurlah ada buat backup cerita nieh dalam external. Kalau tidak pasti akan di'hold'kan hingga entah bila.
Saat melangkah masuk ke ruang pejabat, Balqis perasan ada suara berbisik-bisik perlahan di sekelilingnya. Dan bila menoleh, rakan-rakan sepejabat sekadar tersenyum tanpa suara. Pelik! Tapi itulah yang sedang berlaku.

Dan saat ingin memulas tombol pintu biliknya, Aina menghampiri. “Bertuah la kau nieh!”

Kerut seribu dahi Balqis sebaik mendengar sapaan setiausahanya itu. “Apa yang bertuahnya, Aina? Pelik betul aku. Kat depan tu semuanya pakat tersengih pandang aku. Masuk ke sini, kau pula kata aku bertuah. Kat dalam bilik tu, tah-tah kerusi meja pulak menyapa aku nanti.”

Aina tersengih. “Masuklah. Ada kemungkinan kerusi meja kau akan menyapa,” tambah Aina lantas mengenyitkan matanya pada Balqis. Terjegil Balqis memandang perangai nakal Aina. Balqis meneruskan langkahnya. Malas mahu melayan karenah Aina, rakan sepejabatnya yang sememangnya kuat menyakat. Pintu bilik dikuak.

“Assalamualaikum, Balqis Insyirah.”

Balqis terpana. Kelu dan terkejut. Mana mungkin kerusi dan meja boleh bersuara. Lantas dia memandang ke sisi. Bagai nak terlucut nyawa sebaik terpandang pemilik suara itu. Bukan kerusi! Bukan juga meja! Tetapi seorang lelaki yang suatu ketika dulu pernah menjadi kesayangannya. Amir Izzat.

“Mir!”

Tiada suara yang keluar saat nama itu disebut. Yang ada hanyalah imbasan kenangan yang kembali menyapa mindanya. Patutlah ada wajah yang menyengih sebaik terpandang dirinya tadi. Dan mungkin inilah yang dimaksudkan bertuah oleh Aina sekejap tadi. Dan inilah juga wakil kerusi dan meja yang mungkin teringin menyapa dirinya saban pagi.

“Kenapa diam, sayang?”

Balqis makin keliru. Sayang? Apa tu?

“Qis, ni Amir. Kenapa Qis diam? Tak happy ke bila Mir dah balik?” soalnya lagi.

Lama Balqis memandang wajah di hadapannya. Wajah yang memang selama ini diharap kembali mewarnai hari-hari suramnya dan juga menghiasi mimpi-mimpinya. Tapi hari ini, kenapa bukan rasa itu yang ada? Yang terasa hanyalah kepedihan di bahagian hatinya. Inikah namanya sakit hati? Oh tidak!

“Mir, bila balik sini?” soal Balqis tergagap-gagap. Susah benar hendak menyusun kata-kata saat itu. Amir tersenyum. Sudah kenal benar dengan perangai gadis kesayangannya itu setiap kali menerima kejutan.

“Semalam. Pagi ni Mir terus ke sini. Mama pun bising pagi tadi. Leterkan Mir sebab tak sabar-sabar nak jumpa gadis kesayangan Mir ni,” ujarnya sambil tersenyum.

Balqis terdiam lagi. Akukah gadis kesayanganmu, Mir? Kalau benar, kenapa kau tinggalkan aku begitu sahaja? Tidakkah kau tahu ada hati yang terluka dengan sikap dan perlakuanmu itu? Tidakkah kau sedar aku terluka dengan pemergianmu itu?
”Balqis Insyirah!”

“Hah! Sorry Mir. Qis tak berapa sihat sikit pagi ni. Pening,” ujar Balqis memberi alasan. Nasib baik mulutnya lancar sahaja mengeluarkan alasan.

“Tak sihat? Mir hantar ke klinik, nak?” usulnya laju.

Pantas Balqis mengeleng. “Takpelah Mir. Kejap lagi Qis makan panadol. Lepas tu baiklah.”

“Betul nieh?”

Balqis cepat-cepat mengangguk. Malas untuk memanjang sesi soal jawab itu.

“Kalau macam tu, Mir balik dulu la. Qis rehat-rehat ek! InsyaAllah, malam nanti Mir call Qis macam biasa tau! Still guna nombor lama kan?” pesan Amir lalu mengangkat punggung. Sedia untuk berlalu.

Balqis mengangguk laju. Amir tersenyum lalu segera berlalu pergi meninggalkan Balqis yang masih termangu-mangu. “Adeehh, asallah aku mengangguk tadi,” ucap Balqis seorang diri. Kesal dengan sikap spontannya sebentar tadi. Dan saat itu jugak, telefon bimbitnya tiba-tiba berdering.

“Yer, Cik Nurbaya sayang. Aku ikut kau kejap lagi,” ujar Balqis tanpa menunggu temannya itu menyapa terlebih dahulu.

“Yelah... yelah. Kau nak bawak satu pejabat abang Zahrul kau pun aku tak kisah. Aku okey ajer.”

Balqis tersenyum sendiri saat mendengar temannya itu melepaskan tawa. Bahagia benar temannya saat itu.

“After solat Jumaat nanti, kau jemput aku. Okeylah, aku banyak kerja nieh. Kang kerja tak siap aku malas nak ikut kau dah.”

Balqis ketawa saat mendengar suara mengelabah Nurbaya saat dia mengugut. Tau takut jugak minah nieh. “Okey, jumpa nanti. Waalaikumsalam.”

Tersenyum sendiri Balqis mengenangkan tingkah Nurbaya. Dalam berani takut juga dia.


Back to Top

Part 6: Bintang! Jangan Pernah Pergi

Bintang! Jangan Pernah Pergi
PesanDariHati: Huh! Berpeluh juga nak mengarang BJPP nieh. Sebab, ada unsur ke'dewasa'an sket. Mujurlah, pembacaan dan cara penulisan mereka yang lebih dewasa banyak membantu. Ngee~!!!
Atur wajah itu direnung lama. Matanya tertutup rapat. Mungkin sedang berulit dengan mimpi indah, lantas ada segaris senyuman nipis di hujung bibir itu. Dan ingatannya kembali pada lewat pertemuan dua sahabat di Bandar Tasik Permai dua hari sebelum pernikahan antara dia dan gadis itu berlangsung. Segalanya masih teramat kemas dalam peti mindanya. Dan suara itu juga masih terngiang-ngiang di telinga. Lirih dan sayu sahaja bunyinya. Tapi, begitu bahagia kedengarannya. Bagaimanakah itu? Atau dia yang salah menduga?

“Maafkan aku, Mila. Bukan aku tak mahu dengar nasihat kau. Bukan juga aku ingin abaikan semua nasihat kau. Aku tahu kalau kau sayangkan aku, kau mahukan yang terbaik untuk aku. Tapi, aku mohon satu perkara ini saja, sahabat. Restui keputusan aku ini.”

Gadis bertudung merah jambu di hujung bangku itu menoleh. Memandang Ain yang sedang menunakkan pandangan ke arah dirinya. Mengharapkan sokongan barangkali.

“Kau pasti ke, Ain?”

Ain mengangguk perlahan.

“Aku cuma tak mahu tengok kau sedih lagi, Ain. Aku dah puas tengok airmata kau. Aku dah puas dengar tangisan kau. Kau tak takut ke kalau dia sakitkan kau sekali lagi?”

Lama Ain memandang Karmila di hadapannya. Ya, dia akui bukan sedikit kesakitan yang lelaki itu hadiahkan buat dia. Bukan sekali lelaki itu menyakitkan hatinya. Dan dia juga tidak tahu entah dari mana datangnya kekuatan untuk terus bersama lelaki itu walaupun hatinya disakiti hampir setiap hari.

“Mila, kalaulah boleh aku jelaskan sebenar-benarnya rasa hati aku ini pada kau. Tapi, hakikatnya aku tak mampu nak terangkan pada kau. Memang aku marah, aku sakit hati, aku geram. Semua itu ada dalam hati aku. Tapi setiap kali dia ada, perasaan itu hilang. Senyum nieh tak pernah lekang bila aku dengan dia. Cuma dia yang mampu hilangkan gundah hati aku...”

“Tapi, kuat ke kau kali nieh? Macam mana kalau dia buat hal lagi?” potong Mila laju.

“Aku cuma mahu menjadi isteri dia, Mila. Aku cuma mahu menjadi isteri dia, dunia dan akhirat. Aku tak kisah dia mahu buat apa pada aku, pada hati aku asalkan aku jadi isteri dia.

Karmila terpana. Begitu sekalikah rasa sahabat baiknya itu hinggakan sanggup mengetepikan hati sendiri?

*****

Faiq meraup wajahnya. Sekali lagi, wajah polos putih bersih yang tenang di hadapannya itu dipandang berulang. Seteguh itukah setianya dia pada aku?

“Aku cuma mahu menjadi isteri dia, dunia dan akhirat.”

Berulang kali ayat keramat itu berputar-putar di fikirannya. Saling tak ubah seperti sebuah CD player yang kembali memutarkan lagu yang sama; Berulang dan berulang. Dan dia? Tegakah dia menjadi suami pada Nurul Qurratu’Ain selamanya?

Kenapa kau begitu tenang, sayang? Tidakkah kau sedar manusia jenis apakah yang menjadi suamimu kini? Yang kau harapkan untuk menemani kau di akhirat sana juga? Tak takutkah kau pada luka? Pada sedih? Pada airmata?

“Sudah kau jadikan hatinya setegar karang di lautan, Faiq! Lantas, apa lagi yang kau nak harapkan dari dia?” Ada suara bergema kuat. Faiq mengurut dada. Terkejut pada lamunannya sendiri.

Setegar itukah hatimu kini sayang? Yang akan tetap utuh pada tempatnya walau berulang kali dibadai ombak? Yang tetap mengindahkan permukaan lautan itu dengan warna dan ketenanganmu?

Lantas, cepat sahaja Faiq menolak selimut di hujung kakinya. Laju sahaja dia bangkit dari katil lalu keluar dari bilik yang diselubungi kedinginan itu. Tapi tidak pada hatinya.

Labels: , ,


Back to Top